Negeri miskin adalah negeri kaya hasil bumi

NEGERI miskin perlu berterima kasih kepada Kerajaan Madani”, itu antara ayat-ayat sinikal yang dilontarkan oleh penyokong kerajaan bagi menghasut Kerajaan Pakatan Harapan untuk memulaukan dan menafikan hak rakyat yang ditadbir oleh PERIKATAN NASIONAL. Malah, laungan reformasi yang kononnya ingin mengislah tata kelola bagi menjamin kemajuan negeri-negeri miskin dilihat hanyalah retorik dan pembohongan politik.

Ketidakadilan pengagihan kekayaan antara negeri kaya dan negeri miskin menjadi antara perdebatan hangat perbahasan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12). Ironinya, Kerajaan Madani berjanji untuk menoktahkan kemiskinan pada tahun ini. Namun, janji sekadar janji. Bukan sahaja negeri pembangkang tidak mendapat peruntukan yang cukup malah empat negeri pengeluar minyak juga masih lagi dikategorikan sebagai negeri miskin yang terpaksa berjuang menuntut hak yang sudah termaktub bertulis di dalam perjanjian. Negeri-negeri tersebut adalah Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Khamis lalu YB Datuk Seri Panglima Mohd. Shafie Apdal meminta Kerajaan Persekutuan menyatakan komitmen untuk mengagihkan kekayaan secara adil antara wilayah khasnya bagi negeri Sabah. Ahli Parlimen Ranau juga menyatakan bahawa ketidakadilan pengagihan kekayaan akan menyebabkan jurang perbezaan pembangunan antara Wilayah dan Semenanjung semakin membengkak. Kenyataan ini bukanlah luahan kali pertama disampaikan oleh pimpinan Borneo. Ia juga acapkali telah dibangkitkan oleh Ahli-ahli Parlimen Kelantan.

Tindakan mana-mana Ahli Parlimen atau ADUN yang cuba membangkitkan isu royalti petroleum daripada Kerajaan Pusat pastinya akan dikecam dan didiamkan dengan alasan perundangan. Sebelum ini, Menteri Besar Terengganu dan Menteri Besar Kelantan seringkali membangkitkan tuntutan pembayaran royalti petroleum negeri, namun sayangnya hasrat murni ini kerap kali diperlecehkan dan mendapat kritikan oleh penyokong kerajaan. 

Lebih mengeruhkan keadaan apabila Menteri Ekonomi dan Menteri Kewangan berulangkali membawa naratif bahawa Kelantan dan Terengganu antara negeri yang mendapat peruntukan fiskal tertinggi berbanding negeri lain. Namun tiada perincian yang dipersembahkan untuk meyakinkan rakyat. Kenyataan seperti itu hanya untuk menutup kebejatan rompakan terhormat 5 peratus royalti hasil minyak untuk negeri-negeri pembangkang.

Hakikatnya Kerajaan Pusat yang terhutang budi dengan kesemua negeri pengeluar minyak petroleum kerana negeri-negeri ini telah berbesar hati memberi kuasa kepada PETRONAS mengeksplorasi dan mengeksploitasi petroleum sama ada di daratan atau luar pantai. Perkara ini termaktub dengan jelas dalam Akta Kemajuan Petroleum 1974 lagi. Melalui akta ini juga PETRONAS perlu membayar 5 peratus daripada pendapatan minyak kepada negeri pengeluar minyak seperti yang tertulis dalam Seksyen 4 Akta Kemajuan Petroleum 1974.

Pastinya pemberian royalti petroleum secara adil dan telus kepada keempat-empat negeri tersebut bakal meningkatkan pertumbuhan ekonomi dalam negeri. Pelbagai dasar pembangunan dalam negeri boleh dilaksanakan seperti pemerkasaan sosioekonomi rakyat, pelancongan, infrastruktur dan industri. Pemberian royalti ini pastinya menjadi ‘game changer’ bagi negeri-negeri miskin untuk kemajuan negeri.

Pembayaran royalti Kelantan dianggarkan sebanyak RM13 bilion namun ia dinafikan sejak 2004 semasa pemerintahan Kerajaan Barisan Nasional. Laporan Sosioekonomi Negeri Kelantan 2022 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia juga mencatatkan jumlah dagangan bagi petroleum mentah adalah sebanyak RM1.6 bilion dan RM0.3 bilion pada tahun 2021. Namun sehingga kini, satu sen duit pun tidak diberikan kepada kerajaan negeri.

Dari segi sejarah, pembayaran royalti minyak kepada Negeri Terengganu telah dibuat walaupun pelantar cari gali minyak berada luar 3 batu nautika iaitu 220 kilometer di perairan Laut China Selatan sedangkan Kelantan tidak mendapat apa-apa bayaran walaupun pelantar minyak terletak 170 kilometer di Zon Ekonomi Eksklusif. Terengganu telah mendapat pembayaran royalti minyak sejak 1978 lagi sehingga diubah menjadi wang ehsan pada tahun 2000 namun bukan langsung kepada kantung kerjaaan, tetapi kepada pihak lain yang berkepentingan politik untuk merampas Kerajaan Terengganu daripada PAS ketika itu. Ketidakadilan ini tidak  boleh diteruskan  bagi menoktahkan kemiskinan di negeri-negeri miskin.

Oleh itu, Kajian Separuh Penggal RMKe-12 perlu menjadi indikator utama kerajaan bagi menzahirkan tekad untuk mengurangkan kadar kemiskinan seperti yang diuar-uarkan dalam Belanjawan 2023. Pakatan Harapan juga tidak boleh mewarisi tata kelola ‘terpilih’ seperti yang diamalkan oleh Barisan Nasional bagi meningkatkan kemajuan negara selain melaksanakan semangat Persekutuan (Federalisme) seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. 

Jangan sampai generasi kelahiran akan datang mengutuk kerajaan kini kerana merampas dan mengaut hasil kekayaan negeri-negeri miskin. Untuk noktahkan kemiskinan tegar yang mustahil itu, noktahkan dulu rompakan hasil gas dan petroleum negeri yang miskin.

DATUK DR AHMAD MARZUK SHAARY
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat
Ahli Parlimen Pengkalan Chepa
21 September 2023 – HARAKAHDAILY 21/9/2023

Advertisement