Mengisi kemenangan, melurus pentadbiran, mengurus kewangan

DISKUSI bulanan Pejabat Menteri Besar Terengganu diteruskan pagi tadi bagi penggal baharu di bawah pentadbiran YAB Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Advertisement

Teks yang digunakan masih buku Khalifah Umar al-Khattab karya Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Subtopik yang dibincang ialah mengenai meluaskan kemenangan menawan Homs, Halab, Aka, Haifa, Yafa, Gaza, Beirut dan lain-lain. Juga topik pengunduran Raja Rom, pembebasan Halab dan penentangan Rom di Qinnasrin.

Topik ekonomi pula mengenai konsep wasatiyah dalam sistem ekonomi. Melalui perbincangan dan percambahan idea, beberapa pengajaran dapat dipetik:

1. Apabila ada peluang, susunan pentadbiran negeri mesti dibuat.

2. Kerajaan Islam memerintah dengan adil. Ia tidak sama dengan Rom. Inilah yang tidak dapat dikecap oleh masyarakat ketika mereka diperintah oleh Rom. Apabila Islam diberi peluang memerintah, baru mereka nampak, rupa-rupanya ada pemerintahan yang jauh lebih baik dari Rom.

3. Dalam konteks semasa, kerajaan negeri Terengganu telah menunjukkan pentadbiran yang baik pada penggal lepas. Maka pada penggal ini, keadilan dalam pentadbiran itu mesti diterus dan disuburkan dalam pelbagai aspek.

4. Memetik hadis Nabi mengenai Konstantinopel, kita iqtibas darinya lalu kita sebut: “Kita berharap negeri ini ditadbir oleh sebaik-baik Menteri Besarnya dan jentera pentadbirannya adalah sebaik-baik jentera pentadbiran”.

5. Ada paderi besar yang masuk Islam ketika itu. Dalam konteks semasa, dakwah yang dilakukan mesti diteruskan, ditambah baik kerana masih ramai non-Muslim yang tidak bersedia bersama gerakan Islam, atau masuk Islam dan membantu perjuangan Islam.

6. Dari topik kewangan Islam, urusan kewangan mesti mengikut maqasid syariah yang menjaga maslahah/kepentingan manusia, dari sudut daruriyyat, hajiyyat dan tahsiniyyat. Di peringkat negeri, kita berharap kerajaan negeri akan mengurustadbir aspek ini sebaik mungkin. Namun, tentulah memerlukan kerjasama erat dari kerajaan pusat.

7. Dalam buku ini, Tuan Guru menyebut keperluan kepada masyarakat madani. Namun, perlu diingat, buku ini ditulis lama sebelum konsep Malaysia Madani diperkenalkan di peringkat kerajaan pusat sekarang. Konsep, kefahaman dan pengisian mengenainya juga berbeza kerana mereka yang mendokong dan mempeloporinya juga ada tasawwur dan kefahaman yang berbeza. Begitu juga konsep wasatiyah dalam ekonomi.

8. Akal tanpa agama adalah sesuatu yang bahaya kepada masyarakat. Pelbagai ideologi asing dari Islam, termasuk sekularisme dan liberalisme tidaklah bermanfaat untuk masyarakat Malaysia, melainkan mereka mesti dipandu oleh petunjuk wahyu.

9. Kegiatan ekonomi dikuasai oleh golongan atasan yang menyebabkan aktiviti ekonomi pincang. Dalam konteks semasa, orang tengah yang menangguk peluang, kartel yang meraih banyak wang, sistem lapuk yang mesti dibuang mesti dilihat dan diperbetulkan balik agar ekonomi yang berkat, mendapat rahmat berkembang. – HARAKAHDAILY 21/9/2023