KANGAR: Pelantikan ahli Majlis Pembangunan dan Keselamatan Kampung (MPKK) oleh kerajaan negeri seharusnya diiktiraf oleh kerajaan persekutuan.
Menteri Besar Mohd Shukri Ramli berkata, tindakan kerajaan persekutuan turut melantik Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) di Perlis disifatkan sebagai tidak wajar.
“Kerajaan Persekutuan seharusnya mengiktiraf peranan MPKK kerana mereka menjalankan fungsi yang sama kepada rakyat.
“Malah, keadaan itu menyebabkan rakyat keliru sekiranya ada pihak yang ingin mendapat bantuan buku dan sebagainya daripada Jabatan Pendidikan, mereka perlu mendapatkan tandatangan JPKKP.
“Sebaliknya jika mereka ingin memohon bantuan seperti Baitulmal pula, mereka perlu dapatkan tandatangan MPKK, jadi keadaan ini akan menimbulkan kecelaruan,” katanya ketika ditemui di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.
Mengulas lanjut Mohd Shukri berkata, buat masa ini MPKK yang dipilih tidak menerima sebarang elaun daripada kerajaan negeri.
“Bagaimanapun kita sedang mengusahakan agar elaun itu dapat dimasukkan dalam bajet untuk diberikan kepada ahli yang dilantik,” katanya.
Mengulas mengenai lantikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai penasihat tidak rasmi empat negeri ditadbir yang PERIKATAN NASIONAL (PN) atau ‘State-Goverment 4′(SG4), katanya, langkah tersebut bertepatan bagi pembangunan negeri terlibat.
“Tun mempunyai pengalaman dan jaringan yang hebat termasuk dengan dunia luar yang pastinya dapat membantu empat negeri terbabit. Beliau akan pantau pembangunan ekonomi empat negeri tersebut serta memberi khidmat nasihat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 21/9/2023