KUALA LUMPUR: Inisiatif terbaharu kerajaan, Jualan Rahmah beras pada harga RM13 hingga RM14 sekampit lima kilogram (kg) sudah pasti itu akan meringankan beban golongan berpendapatan rendah, namun ia juga dikhuatiri boleh menyebabkan ketidakstabilan dalam bekalan.
Pensyarah Pengurusan Rantaian Makanan di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya, Prof Suhaiza Hanim Mohamad Zailani berkata, inisiatif seperti itu sudah pasti boleh membantu mengekang kenaikan harga beras di pasaran, terutamanya jika terdapat kekurangan bekalan tempatan.
“Namun, bergantung kepada beras import yang boleh menyebabkan ketidakstabilan dalam bekalan jika terdapat masalah dengan negara pengeluar atau gangguan dalam rantaian bekalan,” katanya.
Beliau yang juga Pengarah Pusat Ungku Aziz, Universiti Malaya (UAC) menegaskan, diskaun beras import oleh kerajaan itu pula berpotensi memberi tekanan kepada petani beras tempatan, yang mungkin tidak dapat bersaing dari segi harga.
“Walaupun beras import mungkin lebih murah, kualiti beras mungkin berbeza dengan beras tempatan dan akan mempengaruhi kepuasan pengguna,” ujarnya kepada HarakahDaily.
Sehubungan itu, beliau berkata bahawa kerajaan perlu fokus kepada pengeluaran beras tempatan berbanding import untuk mengurangkan kebergantungan dan membantu pengeluar tempatan.
“Usaha itu perlu dilakukan oleh kerajaan untuk membantu pengeluar beras tempatan dapat dikekalkan dalam rantaian bekalan di Malaysia,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Menteri Penrdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh melancarkan Program Jualan Rahmah Beras yang menawarkan beras import dengan sasaran agihan kepada golongan memerlukan.
Program tersebut mensasarkan agihan beras import kepada kawasan B40, perumahan kos rendah dan Program Perumahan Rakyat (PPR) dengan harga yang lebih rendah, iaitu RM13 hingga RM14 setiap kampit lima kilogram (kg). – HARAKAHDAILY 21/9/2023