Sasaran kerajaan perbaiki kedudukan CPI meragukan

KUALA LUMPUR: Senator Aknan A/L Ehtook kurang yakin negara mampu memperbaiki kedudukan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) daripada 61 ketika ini kepada 25 dalam tempoh tiga tahun.

Beliau berkata, sasaran itu adalah cita-cita tinggi yang bagus, tetapi perlu seiring dengan perancangan dan tindakan yang teliti.

Advertisement

“Nak melangkah satu angka pun mengambil masa setahun, ini kan pula dalam tempoh tiga tahun hendak melangkah kedudukan antara 30 hingga 40.

“Apa pun tahniah kepada menteri kerana bercita-cita tinggi untuk melaksanakannya,” katanya ketika sesi perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 di Dewan Negara, hari ini.

Menurutnya, kerajaan perlu berhati-hati dengan perangkap sepanjang usaha membaiki kedudukan CPI kerana gagal merancang bermakna merancang untuk gagal.

“Kata orang, bercita-cita tinggi baik tetapi untuk bercita-cita tinggi, usaha yang dilakukan juga perlu tinggi,” katanya.

Sementara itu, katanya Pangkalan Data Utama (PADU) perlu lebih baik berbanding Sistem eKasih (Sistem Bank Data Kemiskinan Nasional) bagi menyalurkan bantuan subsidi kerajaan.

PADU yang menggabungkan maklumat sosio ekonomi bagi setiap isi rumah di negara ini diperkenalkan bagi memperkemaskan pelaksanaan subsidi bersasar.

Beliau berkata, terdapat kes pencemaran data ketika kerajaan menggunakan eKasih dalam penyaluran bantuan kepada golongan yang memerlukan.

“Ini kerana terdapat ruang untuk mereka yang memasukkan data melakukan perbuatan manipulasi dengan memasukkan mereka yang tidak layak untuk menerima bantuan,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/9/2023