PH-BN digesa henti khianati hak milikan rakyat dan negara

SEMUA pihak diseru untuk menyedari dan mengambil peranan dalam tanggungjawab mempertahankan hak rakyat dan negara dari dipindah milik kepada kepentingan asing. Dilaporkan perkara-perkara tersebut sedang berlaku dengan lebih agresif lagi di era pemerintahan Pakatan Harapan – Barisan Nasional (PH-BN) kini.

Perbuatan seperti ini wajar dicurigai sebagai satu kecurangan menggunakan kedudukan jawatan atau kuasa dalam kerajaan untuk bertindak sedemikian. Sewenang-wenangnya kepentingan strategik berupa aset, harta, keselamatan dan kedaulatan negara cuba dijual gadai dan diserahkan kepada pihak lain. 

Cukuplah dengan segala bagasi isu seperti kependudukan dan pemilikan tanah serta perumahan di hampir semua negeri yang seolah-olah rakyat merempat di bumi sendiri. Isu Kampung Baru dan Kampung Chu Badak di Kuala Lumpur; Kampung Berembang di Selangor serta perkampungan warisan Melayu di Pulau Pinang dan isu-isu tanah adat.

Tanah-tanah rancangan khas pertanian seperti FELDA dan FELCRA yang masih bengit dan berkonflik dengan isu pewarisan pusaka, sedangkan generasinya sudah berganti. Jangan jadikan mereka seperti peminta sedekah yang melukut di tepi gantang dan diberi janji-janji berulang kali, namun tidak pernah ditunaikan atau ditepati. 

Masih tidak mengambil iktibarkah kita terhadap tuntutan pihak Sulu dan Filipina, selain terlepasnya Pulau Batu Putih serta ancaman di Laut China Selatan? Kini ketika rakyat kita masih belum benar-benar bermastautin dan Malaysia pula terus digugat kuasa asing, dikatakan berlaku ‘tawar-menawar’ berhubung sempadan negara?

Menerusi politik juga kita pernah menanam rasa benci terhadap amalan korupsi, kronisme dan nepotisme (KKN) seperti rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa. Kita pernah kecewa dan marah dengan isu BMF, ‘Forex’, Perwaja, PKFZ, NFC, 1MDB, TH dan lainnya; tetapi kini isu-isu seumpama sedang dikompromikan oleh kuasa politik.

Isu pertuduhan-pertuduhan di mahkamah yang berubah; Tanah Rizab Melayu berkurang; penerokaan dan pencerobohan tanah kerajaan secara haram; penawaran tanah milik Perbadanan Aset Keretapi (RAC) kepada swasta; pengambilalihan saham dan aset milik Bousted Holding Bhd; tender semula projek-projek telah diluluskan; serta pelbagai isu seumpama yang lain.

Semua sedang berulang ini tidak sepatutnya masih berlaku dalam keadaan Malaysia sudah 66 tahun Merdeka dan berpemerintahan bangsa sendiri. Apakah ini semua terjadi kerana pemimpin yang ada bermentaliti penjajah dan menjadikan jawatan disandang untuk memenuhi tembolok diri dan parti sendiri semata-mata?

Lalu semua tata kelola, prinsip dan integriti dilanggar dengan menjadikan rakyat dan negara sebagai mangsa yang cuba diperbodohkan, dibohongi dan dikhianati. Kerana itu rakyat terutamanya dan juga badan-badan bukan kerajaan (NGO) serta para pemimpin negarawan mesti segera bersolidariti mengekang dan menghalang perkara ini. 

Sekiranya semua pihak leka dan sambil lewa, tentunya sikap agresif pihak-pihak terbabit akan lebih berleluasa untuk melenyapkan pegangan ke atas negara ini. Jangan nanti bumi dipijak milik orang dan kita kembali dihamba serta dijajah secara sistematik oleh mereka-mereka yang berkuasa ke atas kekayaan mahsul, harta dan politik negara ini. 

Kerajaan-kerajaan Negeri pula wajib menzahirkan kuasa sebenar dengan menjaga semua kepentingan dan hak rakyat serta negara ini. Apalah dengan teraju pemerintahan yang dipegang dan bersifat sementara, tetapi disalahguna dan diselewengkan bagi meraih habuan tidak seberapa dan mengundang sengketa sesama kita?

Kerajaan PH-BN mesti menghentikan kemungkaran dan dosa dilakukan mereka dengan mengembalikan semula segala hak dan pemilikan yang telah sedia termaktub dalam peruntukan negara dan negeri. Segala kelompangan atau kelemahan mesti diperbaiki dengan peruntukan perundangan yang lebih terjamin dengan teguh.

“Malaysia Sejahtera”

DATUK HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Pengerusi
Lajnah Pembangunan Tanah, Perumahan dan Orang Asal
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 20/9/2023

Advertisement