Percanggahan sekularisme di Malaysia

- Advertisement -

MENARIK apabila ada politikus bukan Islam DAP menggunakan ayat Quran sebagai dalil. Sebab perjuangan DAP dan penyokong DAP ialah mempertahankan sekularisme dalam politik negara. Apabila politikus DAP guna ayat Quran sebagai hujah, maka dia langgar prinsip sekularisme. Dan Malaysia Madani itu pun agak melanggar sekularisme. Agak lucu kerana penyokong DAP beria-ia menentang sesetengah parti politik demi mempertahankan konsep sekularisme.

Sekularisme sebenarnya ialah konsep moden yang bermula melalui Perjanjian Westphalia pada hujung abad ke-18. Antara kesan perjanjian itu ialah agama diasingkan daripada negara bangsa. Ini dilakukan dengan membuang pengaruh Pope Catholic daripada negeri-negeri Eropah Barat. Pendek kata, makna sebenar sekularisme ialah pengasingan politik daripada agama Kristian. Ia bukan untuk asingkan politik daripada agama Islam.

Namun apabila penjajah Barat mewujudkan koloni di seluruh dunia, doktrin sekularisme ini diterapkan di tanah peribumi, termasuk Tanah Melayu yang sebelum itu mengamalkan sistem ala Islam. Sejak itu, British misalnya memaksa penduduk Tanah Melayu menggunakan doktrin sekularisme dalam Perlembagaan. Maknanya, pada awal abad ke-20, definisi sekularisme diperluaskan bukan saja kepada agama Kristian, tetapi juga agama-agama lain termasuk Islam.

Akan tetapi, pada abad ke-21 atau pasca-moden, definisi agama itu diperluaskan lagi oleh Barat. Banyak kajian di United Kingdom atau England membuktikan ini. Misalnya pada November 2022, bancian mendapati hanya 46 peratus penduduk di sana beragama Kristian. 22 juta orang adalah Atheis (tidak percaya Tuhan). Atheism diiktiraf sebagai satu identifikasi agama di Eropah. Ada satu lagi yang lebih penting. Banyak pengkaji sosial dan politik telah meluaskan definisi agama atau kepercayaan kepada ideologi. Misalnya, jika seseorang begitu percaya kepada ideologi liberalisme, maka dia dikatakan menganut kepercayaan liberalisme. Ada beberapa ideologi besar di Barat, rata-rata dikaitkan dengan parti-parti politik kerana parti politik Barat kebanyakannya berasaskan ideologi.

Menurut kajian, agama adalah sama macam ideologi kerana kedua-duanya berasaskan kepercayaan (faith). Contohnya, kalau penyokong sesuatu parti politik begitu yakin terhadap ideologi ekonomi partinya, maka itu tidak berasaskan fakta dan bukti, sebaliknya ia berasaskan kepercayaan. Dalam DAP pun, banyak ideanya bukan berasaskan sains dan bukti, tetapi hanya kepercayaan membuta-tuli. Menurut kajian Barat, itu pun satu agama!

Justeru itu, apabila penyokong DAP nak mempertahankan sekularisme, itu amat bermasalah. Kalau ikut definisi sekularisme yang semakin popular di Barat, sepatutnya politik perlu diasingkan daripada apa-apa ideologi, bukan setakat agama. Kedua-duanya sama iaitu kepercayaan.

Tapi DAP mungkin kata “Oh, sekularisme ini hanya terpakai untuk kepercayaan kepada Tuhan saja. Kepercayaan kepada ideologi tanpa Tuhan tak dilarang oleh sekularisme.”

Tapi bukankah dalam Rukun Negara ada “Kepercayaan kepada Tuhan“?

Dan tak semua agama sembah Tuhan. Misalnya, Buddha tiada Tuhan. Sesetengah orang yang mengaku Taoism pun tidak sembah Tuhan.

Satu contoh, penyokong DAP percaya yang dasar ekonomi kerajaan mesti mengikut pasaran bebas walau apa pun terjadi, itu tak boleh dipersoal. Ini ialah satu kepercayaan kerana dalam banyak keadaan, kajian membuktikan mengikut pasaran ekonomi bebas secara buta-tuli adalah tak bagus. Tapi oleh sebab mereka begitu percaya kepada ekonomi bebas, maka penyokong politik ini tak peduli kepada kajian dan bukti. ‘By book or by crook’, mesti ikut doktrin ekonomi bebas. Ini satu kepercayaan!

Kesimpulannya, dalam dunia pasca moden, sekularisme tidak lagi relevan.

HEZRI SARDI – HARAKAHDAILY 20/9/2023

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100003684976986/posts/pfbid035fJFRMJ9fBfkQpuLRvFh42Dsc4D8rpdBxrqrTi4mQzmE2qSzqaBFdVGEx7AtS3qXl/

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -