BENTONG: Isu atau skandal berkaitan pengambilalihan atau penjualan hak kepentingan rakyat dan negara kepada pihak lain dilihat sedang agresif berlaku di era pemerintahan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) kini.
Pengerusi Lajnah Tanah, Perumahan dan Orang Asal PAS Pusat, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, untuk itu PAS dan Perikatan Nasional (PN) juga agresif untuk menangani perkara tersebut daripada berlaku.
Menurut beliau, pihak kerajaan hari ini kaget apabila Ahli-ahli Parlimen PN lantang dan tegas bersuara di Dewan Rakyat bagi melindungi dan mempertahankan kepentingan tersebut dipindah milik kepada pihak lain.
Beliau merujuk antaranya isu pegangan saham Boustead Holding Bhd iaitu anak syarikat milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang diambil alih sebuah syarikat swasta, sekali gus juga aset-aset anak syarikat itu.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu berkongsi perkara demikian ketika meluangkan masa hadir ke Sidang Meja Bulat yang membincangkan isu-isu di bawah tanggungjawab lajnah tersebut bersama PAS Negeri Pahang, di sini semalam.
Bendahari PAS Pusat, Dato’ Iskandar Abdul Samad selaku juga Penasihat lajnah itu pula berkata, isu tanah dan perumahan di negara ini terlalu kompleks dan teknikal, namun ianya isu besar yang kurang diberi perhatian oleh rakyat.
Untuk itu PAS ujarnya, berperanan menyedarkan awam kerana dua isu tersebut bukan sahaja luas cakupan dan saling berkait dengan yang lain, tetapi turut memberi kesan berpuluh tahun ke atas masa depan generasi anak cucu cicit.
Seru beliau, isu-isu melibatkan Tanah Rizab Melayu dan pemberian pemilikan di tanah rancangan khas atau larangan pengambilalihan tanah orang Melayu, mesti terus diperjuangkan secara konsisten.
Menurut beliau, atas nama pembangunan banyak tanah diusahakan atau dimiliki orang Melayu telah diambil alih seperti untuk Projek Rel Pantai Timur (ECRL), selain isu polisi-polisi baharu yang cuba diperkenalkan oleh Kerajaan PH-BN.
Dato’ Iskandar memberi contoh antaranya Akta Pembangunan Semula Bandar yang dilihat cuba mengawal komposisi kaum menerusi pembangunan kediaman di mana rumah dibina pada harga tidak mampu dimiliki oleh orang Melayu.
Jelas beliau, peratusan kependudukan mengikut kaum akan berubah menerusi polisi akan dibuat, lalu satu-satu penempatan atau bandar itu hanya akan diduduki oleh orang kaya atau didominasi oleh kaum tertentu.
Katanya, perkara turut perlu dirunsingkan adalah desakan para pemaju perumahan kepada kerajaan hari ini untuk mereka tidak membangunkan Rumah Mampu Milik, sebaliknya meletakkan beban itu kepada pihak kerajaan.
Beliau juga berharap lajnah tersebut terus memimpin isu-isu berkaitan penjualan atau pindah milik saham dan aset yang melibatkan kepentingan awam dan negara di mana ia tidak sepatutnya berlaku sedemikian.
Antara yang terkini disentuhnya dalam ucapan tersebut adalah tanah-tanah milik Perbadanan Aset Keretapi (RAC) di mana dibuka kepada pihak swasta, sedangkan ia lebih wajar ditawarkan kepada syarikat milik kerajaan (GLC).
Dalam pada itu, sidang yang dihadiri oleh para pimpinan PAS Negeri dan Kawasan-kawasan seluruh negeri ini diketuai Pesuruhjaya, Ustaz Rosli Abdul Jabar tersebut, telah membincangkan pelbagai isu berkaitan.
Penyelidik Tamadun Alam Melayu, Zaharah Sulaiman menerusi pembentangan dibuat kepada peserta antaranya, telah mendedahkan banyak muslihat di sebalik isu-isu penerokaan dan pencerobohan tanah secara haram di Pahang.
Hasil daripada perbincangan dan resolusi dihasilkan, para peserta akan mengadakan kerjasama dengan pelbagai pihak lagi untuk menggiatkan usaha bagi menangani isu-isu berkaitan sebagai penyelesaian Islam dan kerajaan menunggu. – HARAKAHDAILY 20/9/2023