Howard jangan kurang ajar dengan Islam

DEWAN Pemuda PAS Negeri Perak telah meneliti ucapan Howard Lee, Ahli Parlimen Ipoh Timor menerusi video di akaun TikTok beliau, baru-baru ini.

Ternyata, ucapan beliau amatlah dangkal dan mengandungi unsur provokasi melampau terhadap kesucian agama Islam.

Adalah tidak layak untuk beliau apabila tiba-tiba menjadi pentafsir al-Quran dan memutarbelitkan tafsir ayat 59 surah an-Nisa.

Tindakan ini jelas menunjukkan langkah terdesak pemimpin DAP ini apabila cuba bermain isu 3R sedangkan kerajaan hari ini kononnya lantang menolak isu 3R.

Siapa beliau untuk membuat tafsiran al-Quran dengan sesuka hati? Beliau yang kita kenali bukanlah seorang yang beragama Islam malah merendah-rendahkan pula seorang ulamak dalam agama Islam yang ternyata diakui keilmuan serta kefaqihan beliau dalam Islam.

Tindakan Howard Lee ini boleh dikategorikan sebagai satu kesalahan di bawah Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 223 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau menghuraikan hujah melalui sandaran dalil al-Quran supaya PAS mengikut ulil amri yang kononnya disamakan sebagai kerajaan hari ini. Padahal, apa kredibiliti dan kelayakan beliau untuk menghuraikan tafsiran ayat ini sedangkan beliau bukan pakar al-Quran.

Justeru, kita mahu melihat sejauh mana kerajaan terutamanya Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Komunikasi dan Digital bertindak dalam isu ini.

Sebagai sebuah kerajaan yang lantang memperjuangkan reformasi, pelaksanaan undang-undang itu hendaklah adil dan dilihat adil. Bukan seperti peribahasa kuman di seberang laut nampak, gajah di depan mata tak nampak.

Pesanan buat Howard Lee, jangan kurang ajar dengan Islam. Bagiku agamaku, bagimu agamamu. Adakah ini yang digelar sebagai penunggang agama?

YB USTAZ HAFEZ SABRI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY 20/9/2023

Advertisement