Gelombang rakyat: PN berpotensi menang PRK Pelangai

Ustaz Rosli Abdul Jabar

KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabar berkata, majoriti rakyat negeri itu menolak gabungan Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) yang membentuk kerajaan negeri.

Advertisement

Menurutnya, ini terbukti apabila di semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang majoriti adalah Melayu sama ada di kawasan bandar, pinggir bandar dan luar bandar hanya melibatkan persaingan antara PERIKATAN NASIONAL (PN) dengan BN.

Katanya, PH tidak mendapat sokongan dalam kalangan pengundi Melayu di ketiga-tiga kawasan berkenaan.

“Perkara itu berbeza dengan situasi di kawasan pantai barat dan selatan,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 17 DUN yang majoritinya Melayu dimenangi oleh PN iaitu Cheka, Tahan, Pulau Tawar, Damak, Beserah, Tanjung Lumpur, Sungai Lembing, Lepar, Pancing, Pulau Manis, Luit, Kuala Sentul, Chenor, Jengka, Lancang, Kuala Semantan serta Bukit Ibam.

Tambahnya lagi, keputusan PRU15 itu juga menyaksikan kemerosotan undi yang ketara di DUN yang dimenangi oleh Umno-BN manakala DUN yang majoritinya bukan Melayu kekal dikuasai PH.

“Pencapaian ini membuktikan sejak PRU15 hingga sekarang, pengundi Melayu kekal memilih PN,” ujarnya yang juga ADUN Tanjung Lumpur.

Menurut beliau, sokongan orang Melayu kepada PN dibuktikan lagi menerusi keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos lalu.

Pada PRN itu, ujarnya PN berjaya mengekalkan tiga negeri iaitu Kelantan, Terengganu serta Kedah dan menguasai lebih kerusi DUN majoriti Melayu di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Di samping itu, kata beliau rakyat dapat melihat bahawa kerjasama Umno-DAP hanyalah menguntungkan pimpinan atasan atau golongan yang jelas melanggar undang-undang.

Ustaz Rosli menambah, sehingga hari ini masih tiada katalis atau daya penarik dalam kerjasama Umno-DAP tetapi yang jelas ia lebih kepada cita-cita dan kehendak presiden semata-mata untuk bersama dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Justeru, ujar beliau dengan terbuktinya gelombang kebangkitan rakyat khususnya anak muda dalam kalangan orang Melayu pada PRU15 dan PRN di enam negeri, PAS Pahang yakin undi Melayu akan menjadi signifikan kepada kemenangan PN pada Pihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon bagi PRK DUN Pelangai pada 23 September ini, mengundi awal 3 Oktober dan hari mengundi pada 7 Oktober.

PRK DUN Pelangai diadakan susulan kematian penyandangnya, Dato’ Seri Johari Harun dalam nahas pesawat terhempas berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lalu. – HARAKAHDAILY 20/9/2023