ECER gagal capai sasaran, perlu disemak semula

KUALA LUMPUR: Program Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) perlu disemak semula kerana walaupun dilancarkan lebih 15 tahun lalu, namun sehingga kini matlamat kewujudan pembangunan wilayah itu belum dapat dicapai.

Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff, berkata antara projek utama ECER yang memfokuskan pembangunan pelancongan ialah membangunkan Pengkalan Kubur sebagai pusat pelancongan sempadan dan pusat perdagangan peringkat Asia Tenggara dan segi tiga pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand.

Advertisement

“Namun sehingga kini, sasaran itu masih belum tercapai. Justeru itu, saya mencadangkan supaya satu semakan semula perlu dibuat dan dibentangkan.

“Laporan terbuka terperinci mengenai pencapaian perlu disampaikan dan dikongsikan bersama,” katanya ketika membahaskan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 di Dewan Negara, hari ini.

Sementara itu, Dr Wan Martina membangkitkan beberapa projek yang menjadi keutamaan di Kelantan yang menjadi wishlist (perkara yang diharapkan berlaku) utama dalam RMK12.

Namun, katanya projek berkenaan belum mendapat status kelulusan daripada pihak menteri.

“Tiga projek yang menjadi harapan kerajaan Kelantan yang masih belum mendapat status kelulusan ialah menaik taraf Jalan FT 207 Jalan Pasir Mas-Salor, dari Simpang Batu Empat di Kota Bharu hingga ke Simpang Salor di Pasir Mas (Jalan Tunjong) yang bernilai RM652,568,406.00

“Kedua, ialah menaik taraf laluan D110 dari laluan Tiong ke Pasir Tumboh, Kota Bharu yang bernilai RM314,034,317.40 dan ketiga, pembinaan jalan dalaman utama, pembangunan Bandar Baru Tunjong, Kota Bharu bernilai RM130,000,000.00,” katanya.

Menurutnya, projek berkenaan amat penting dan perlu disegerakan, seiring dengan pembinaan Kompleks Gunasama Persekutuan di Tunjung.

Katanya, kegagalan melaksanakan projek berkenaan akan menyebabkan kesesakan teruk di Tunjong dan Kota Bharu yang dianggarkan lebih 3,000 kenderaan pada suatu masa akan terlibat dalam kesesakan lalu lintas.

Beliau berkata, projek wishlist lain ialah pembinaan Kompleks Maritim Negeri Kelantan (MNK)di sekitar muara Tok Bali, Pasir Puteh bernilai RM400,000,000.00 bagi meningkatkan keselamatan perairan pantai serta pembinaan dua benteng pemecah ombak sepanjang tiga kilometer setiap satu di Tok Bali bernilai RM800,000,000.00.

Sementara itu, katanya Skim Perubatan Madani hanya dapat dirasai di dua daerah di Kelantan, iaitu Kota Bharu dan Pasir Mas.

“Kita sedia maklum, Kelantan merupakan antara negeri yang mempunya penduduk berpendapatan isi rumah terendah, dengan purata pendapatan isi rumah RM4,320.

“Setakat ini, Skim Perubatan Madani hanya dirasai rakyat di daerah tertentu, iaitu Kota Bharu dan Pasir Mas, iaitu kawasan bandar yang kemudahan sudah ada dan mudah didapati.

“Bilakah skim ini akan diperluaskan kepada penduduk luar bandar yang sukar mendapat akses ke klinik kesihatan kerajaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/9/2023