KUALA LUMPUR: Yang di-Pertua Dewan Negara mengucapkan selamat menjalankan tugas dengan penuh profesional dan integriti kepada Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dalam sidang Dewan Negara akan datang.
“Tahniah saya ucapkan kepada Yang Berhormat Senator Tuan Nik Mohamad Abduh yang dipilih sebagai Ahli Yang Berhormat Dewan Negara oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Kelantan mulai 8 Julai 2023 hingga 7 Julai 2026.
“Saya percaya lantikan ini akan menyumbang untuk menaikkan lagi kualiti perbahasan dan menimbang usul dalam Dewan Negara,” katanya ketika majlis angkat sumpah Senator Nik Mohamad Abduh di Dewan Negara, hari ini.
Sementara itu, Wan Junaidi meminta Ahli Dewan Negara berbahas dengan konstruktif dan produktif dalam Mesyuarat Khas Dewan Negara bagi membahaskan pembentangan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang akan bermula pada 20 hingga 26 September.
Sehubungan itu, katanya penting bagi setiap Ahli Dewan Negara sentiasa membuat persediaan kajian yang komprehensif bagi mempertingkat dan meluaskan ilmu dalam menjalankan tugasan sebagai Ahli Dewan Negara.
Beliau turut menyarankan Ahli Dewan Negara supaya lebih proaktif dan kreatif bagi memastikan pendapat intelektual mereka turut disampaikan kepada rakyat melalui media utama dan juga media sosial.
“Adalah penting untuk rakyat secara am mengetahui bahawa pendapat dan input yang produktif dan kreatif daripada Ahli Yang berhormat Dewan Negara memainkan peranan yang penting dalam membahas dan menimbang usul yang dibawa dari Dewan Rakyat.
“Sekali gus ini juga akan mencermin dan mewajarkan kelayakan Ahli Yang berhormat Dewan Negara yang dilantik atas pengalaman profesional dan mewakili pakar di dalam bidang masing-masing,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/9/2023