PAS Selangor mengucapkan syabas dan selamat menjalankan tugas kepada 10 orang Ahli Dewan Negerinya yang mengangkat sumpah pagi ini sebagai ahli Dewan Negeri Selangor penggal ke-15 setelah diberi kepercayaan oleh rakyat di kawasan masing-masing dalam Pilihan Raya Negeri tempoh hari.
10 Ahli-ahli Dewan yang diketuai Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi (Sijangkang) komited dalam memberi khidmat terbaik kepada rakyat di kawasan masing-masing serta menjadi suara rakyat selaku penyemak dan pengimbang kepada Kerajaan Negeri PH-BN.
PAS Selangor akan memastikan yang kesemua 10 Ahli Dewannya mendukung dan mempertahankan kerjasama politik melalui PERIKATAN NASIONAL, bersama 12 Ahli Dewan dari PPBM (BERSATU), sebagai kuasa politik baru yang mewakili rakyat Selangor khasnya para pengundi Melayu Islam yang telah memberikan sokongan terbesar pada PN dalam PRN baru-baru ini.
Dalam PRN baru-baru ini, PAS dari satu kerusi pada penggal lalu, telah menang 10 kerusi berjaya mempertahankan DUN Sijangkang dengan majoriti terbesar 11,308 undi dan merampas 9 kerusi PH-BN termasuklah kerusi Ketua Pemuda Umno di Sungai Panjang dan kerusi Setiausaha PH serta PKR Selangor di Paya Jaras. Calon-calon PAS mengalahkan 4 calon Umno, 3 PKR dan 3 PAN.
Dengan bilangan wakil pembangkang seramai 22 orang dari PN, iaitu yang teramai dalam rekod Dewan Negeri Selangor, PAS Selangor mengharapkan agar kerajaan negeri memberikan layanan seimbang kepada semua wakil-wakil pilihan rakyat ini dengan memastikan mereka turut diberikan peruntukkan untuk menguruskan kawasan masing-masing sebagaimana diberikan kepada wakil-wakil kerajaan demi kemakmuran negeri ini.
Biarlah Kerajaan Negeri Kedah, Terengganu dan Perlis menjadi contoh pada Selangor agar nasib dan kebajikan rakyat tidak terabai oleh kerana perbezaan politik.
PAS Selangor melalui PN akan memastikan rakyat Selangor sentiasa diberikan keadilan dan dapat hidup dalam suasana yang aman sejahtera dalam negeri bertuah ini, bebas dari sebarang pengaruh atau aktiviti rasuah dan salah guna kuasa.
ROSLAN SHAHIR DATUK MOHD SHAHIR
Setiausaha
PAS Negeri Selangor
Selasa 19 September 2023 – HARAKAHDAILY 19/9/2023