Nota diplomatik tidak cukup atasi pencerobohan asing

KUALA LUMPUR: Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) mendesak kerajaan mengambil tindakan tegas bagi menangani isu pencerobohan kapal China di Beting Patinggi Ali yang terletak 84 batu nautika dari Miri, Sarawak.

Beliau berkata, kawasan tersebut terletak dalam Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia dan masalah itu sudah berlarutan sejak 2013 dan sehingga kini tiada tindakan tegas diambil

Advertisement

Katanya, perbuatan itu merupakan pencerobohan terhadap kedaulatan negara dan setakat ini, tindakan kerajaan menghantar nota diplomatik kepada Kedutaan China dilihat tidak membuahkan hasil.

“Sekarang bukan soal kita berunding di atas tuntutan ini bukan hak dia, ini pencerobohan, jadi saya ingin bertanya kepada kerajaan apakah pencerobohan ini dilawan secara pencerobohan.

“Takkan orang mari menceroboh, kita hantar nota diplomatik, kita tahu tiap-tiap kali dia datang kita hantar nota diplomatik, dia lihat kita lemah, dia ambil keputusan duduk di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mencelah penggulungan Kementerian Luar Negeri pada Mesyuarat Khas Penggal Kedua Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu Timbalan Menteri Luar Negeri, Dato’ Mohamad Alamin berkata, kerajaan sentiasa peka dan memantau sebarang perbuatan pencerobohan negara asing.

Katanya, kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara tidak pernah berkompromi dan memberi perhatian serius kepada aspek keselamatan dan kedaulatan di perairan negara.

“Saya setuju bahawa kita perlu melipatgandakan dan memperhebatkan proses penguatkuasaan, tetapi saya suka nyatakan bahawa ini adalah usaha bersepadu semua agensi penguatkuasa negara.

“Saya menegaskan sekali lagi bahawa kerajaan sentiasa tegas mempertahankan keutuhan wilayah kedaulatan dan kepentingan negara termasuk di Laut China Selatan melalui Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM),” katanya. – HARAKAHDAILY 19/9/2023