MLS pecat pemain guna nama palsu 

Sejak menandatangani kontrak tiga tahun dengan CF Montreal pada 2021, Matko Miljevic hanya bermain sebanyak 35 kali untuk kelab itu. (FOTO: The Sun.co.uk)

MONTREAL: Major League Soccer (MLS) telah menamatkan kontrak pemain tengah CF Montreal, Matko Miljevic berikutan dakwaan  bermain untuk pasukan amatur menggunakan  nama palsu.

Laporan meluas di Kanada juga mendakwa pemain itu digantung selama-lamanya kerana menumbuk pihak lawan semasa beraksi untuk pasukan tempatan.

Advertisement

MLS dalam kenyataan pada Isnin (18 Sept) berkata, Miljevic  terlibat dalam kelakuan yang memudaratkan liga dan melanggar perjanjian standard pemain, lapor BBC.

Dalam pada itu, Montreal mengesahkan pemain Amerika Syarikat berusia 22 tahun itu tidak lagi bersama kelab itu.

Terdahulu, ketua jurulatih Montreal, Hernan Losada pada minggu lepas mengesahkan siasatan sedang dijalankan berikutan laporan itu.

Miljevic didakwa telah bermain tiga perlawanan untuk pasukan rakannya dalam liga amatur Quebec dengan menjaringkan enam gol, selepas kecewa dengan kekurangan masa bermain di Montreal.

Terdahulu, Miljevic membuat lapan penampilan gantian untuk Montreal pada  musim ini. Bekas pemain akademi Boca Juniors itu  menandatangani kontrak tiga tahun dengan Montreal pada 2021 tetapi hanya bermain 35 kali untuk kelab itu.

Pemain antarabangsa Bawah 20 tahun AS itu hanya menjaringkan dua gol dan dua hantaran dalam jersi Montreal dan belum sempat mencecah 1000 minit di atas padang. – HARAKAHDAILY 19/9/2023