Manfaatkan kejatuhan nilai mata wang negara

KUALA LUMPUR: Promosi pelancongan perlu dilakukan dengan lebih proaktif kepada negara luar ketika kejatuhan nilai mata wang negara ketika ini.

Dato’ Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) berkata, walaupun situasi itu menimbulkan kesusahan kepada rakyat Malaysia, ia merupakan peluang terbaik untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi.

Advertisement

Beliau mengakui bahawa kejatuhan nilai mata wang negara, berbanding mata wang utama dunia terutama Amerika Syarikat memberi implikasi yang sangat negatif kepada ekonomi negara dan rakyat.

“Namun, sebenarnya kejatuhan nilai mata wang itu merupakan peluang terbaik untuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bergerak lebih agresif untuk mempromosi pelancongan Malaysia dengan mendapatkan seramai mungkin pelancong.

“Perbelanjaan pelancong meningkatkan permintaan terhadap mata wang negara dan ini membantu memulihkan ekonomi kerana kena ada game changer (cetusan perubahan) untuk sektor ini bagi mendepani kesukaran ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mencelah penggulungan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing pada Mesyuarat Khas Penggal Kedua (Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12) di Dewan Rakyat, hari ini.

Radzi berkata, kerajaan hanya mensasarkan kedatangkan pelancong antarabangsa sekitar 16 juta orang sahaja pada tahun ini, berbanding 26 juta orang pada 2019.

Sementara itu King Sing berharap kementeriannya mengharapkan kerjasama semua pihak, termasuk pembangkang untuk memastikan sasaran menarik lebih ramai pelancong luar dapat dicapai.

Katanya, spekulasi berbau perkauman sedikit sebanyak menjejaskan keyakinan, terutama pelancong China untuk melawat serta menikmati keindahan Malaysia.

“Itulah banyak faktor, nanti kita selesaikan, itulah visa kita ada pelanggaran dan paling mustahak, saya mau sebelah sana kita boleh bekerjasama jangan kita sikit-sikit perkauman.

“Inilah saya terus terang, pelancong China ada beritahu kalau kita cerita macam itu, kita tak tau kita patut pergi atau tidak patut pergi, kita kerjasama promosikan,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/9/2023