Pew Research 2022 di bawah Pusat Penyelidikan Pew baru-baru ini telah muncul dengan hasil kajian berkenaan pendapat umat Islam di Malaysia mengenai undang-undang Syariah Islam dan hubung kait ulama dengan politik.
Pusat Penyelidikan Pew yang diasaskan oleh Andrew Kohut pada 2004 ialah kumpulan pemikir Amerika Syarikat yang bukan partisan, berpangkalan di Washington.
Kini diketuai Presidennya, Michael Dimock, ia memberikan maklumat mengenai isu-isu sosial, pendapat umum, dan trend demografi membentuk AS dan dunia secara amnya.
Sehubungan itu, penemuan kajian tersebut sangat mengejutkan apabila kira-kira didapati 86 peratus umat Islam di Malaysia yang ditemui mengatakan mereka memihak untuk menjadikan peraturan Syariah sebagai undang-undang rasmi negara ini.
Ini perkara yang penting, dan fakta sepatutnya diketahui dan difahami umat Islam di negara ini apabila menyentuh tentang aspek Syariah sebagai undang-undang.
Jika kita lakukan matematik ringkas di sini adalah seperti berikut:
- 63.5% daripada rakyat Malaysia mengidentifikasikan diri sebagai Muslim pada 2020 (rujukan: Wikipedia)
- 86% daripada 63.5% umat Islam yang tersebut (yang ditemui Pew Research) merangkumi 54% daripada rakyat Malaysia.
- 54% adalah MAJORITI RAKYAT MALAYSIA!
Ini bermaksud, lebih ramai rakyat yang mahukan Syariah Islam di tanah air Malaysia ini daripada yang tidak mahukannya.
Tidakkah itu perkembangan yang sangat menakjubkan, yang perlu dihargai oleh pejuang-pejuang Islam di negara kita?
Di negara yang mengamalkan demokrasi seperti di Malaysia ini, pasti rakyat negara ini mengetahui betapa pentingnya ‘majoriti’ perlu didapatkan untuk menentukan hala tuju negara ini. Majoriti sangat penting!
Sekiranya rakyat boleh memilih dan mengundi mahkamah dan sistem perundangan yang mereka mahukan, antara mahkamah sivil dan syariah, majoriti rakyat Malaysia akan mengundi sistem perundangan syariah.
Namun, perkara itu begitu idealistik kerana sistem politik sistem membenarkan rakyat mengundi orang yang menggubal undang-undang (ahli parlimen) sahaja, bukannya mengundi undang-undang itu secara langsung.
Namun, adakah ia sesuatu mustahil untuk sistem politik kita diubah suatu hari nanti? Sudah tentu tidak mustahil. Namun, cara yang boleh dilakukan terus pada harini adalah dengan mengundi ‘orang yang tepat’.
Orang yang tepat bagaimana yang dimaksudkan itu? Orang yang tepat adalah individu yang boleh mendatangkan perubahan beransur-ansur (reformasi) dalam institusi kehakiman, melalui cara yang sepatutnya.
Reformasi yang kita maksudkan bukanlah reformasi yang berada dalam kempen-kempen politik sesetengah parti yang berada di Malaysia ini, yang dikempenkan dengan begitu eksplisit dan lantang.
Namun, reformasi yang dimaksudkan bergerak secara efektif dan efisien tanpa perlu digembar-gemburkan dengan terlalu terbuka, sehingga menjatuhkan maruah dan kredibiliti institusi tersebut.
Pemimpin agama dan politik
Selain itu, Pew Research juga mendapati 69% umat Islam di Malaysia mengatakan pemimpin agama harus bercakap secara terbuka tentang ahli politik dan parti politik yang mereka sokong.
Apa yang kita boleh amati dari dapatan ini? Ini boleh dilihat bahawa umat Islam sudah memasuki fasa pasca-Sekularisme, iaitu meninggalkan pemisahan antara agama dan politik sebagai suatu perkara yang tidak lagi sesuai dan relevan dalam masyarakat.
Cuba perhatikan, mengapakah umat Islam merujuk kepada pemimpin dan tokoh agama dalam menentukan ahli politik dan parti politik yang seharusnya dipilih, dengan menzahirkan ingin tahu siapakah golongan yang didukung oleh tokoh-tokoh agama tersebut?
Sudah pasti, hal itu kerana ketaatan umat Islam kepada agama Islam dan golongan yang berpengetahuan tinggi tentang agama Islam (Ulama’), dengan kecenderungan untuk merujuk ulama dalam segala hal.
Perkara ini sudah tentulah perkembangan positif yang penting, atas asas bahawa peranan Islam sebagai cara hidup alami ataupun ‘Islam as the Natural Way of Life’, yang telah diperakui oleh segenap lapisan masyarakat Islam berdasarkan pengalaman mereka dalam mencari makna hidup dalam Islam.
Oleh kerana itulah, terhasilnya masyarakat yang akrab dengan ulama dan agamawan, seperti kita lihat di Kelantan dan Terengganu pada tahun 90-an, sehingga sampai tahap setiap lapisan masyarakat di sana menerima ulama sebagai pemimpin tertinggi pentadbiran negeri, berasaskan konsep ‘Kepimpinan Ulama’.
Namun kita lihat pada hari ini, pengaruh tersebut tersebar luas ke negeri-negeri lain di Malaysia, dengan peningkatan pengaruh gandingan PAS dan Perikatan Nasional (PN), dengan pendekatan yang lebih pragmatik, moderat dan memperjuangkan hak bangsa Melayu-Islam.
Memetik kata-kata Allahyarham Tuan Guru Tan Sri Dato’ Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam buku berjudul, Kepimpinan Ulamak terbitan Nufair Street Sdn. Bhd., beliau berkata: “PAS sudah lama dipimpin oleh golongan ulama dan menggabungkan ulama dan profesional. Hanya golongan ulama profesional yang layak menyandang jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dalam parti PAS pada pemilihan yang akan diadakan.”
Begitulah bagaimana PAS telah ditadbir oleh ulama dan akan terus ditadbir juga oleh ulama selepas ini. – HARAKAHDAILY 19/9/2023