KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kapar mencadangkan kepada Kementerian Perpaduan Negara supaya menjemput ahli parlimen, termasuk pembangkang menyertai program peringkat akar umbi kementerian itu seperti Rukun Tetangga dan Tabika Perpaduan.
Dr Halimah Ali berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pelbagai ideologi politik juga perlu dijemput untuk bersama rakyat pelbagai kaum dalam program kementerian.
“Rukun Tetangga memang satu wadah atau cara untuk menyemaikan menyemarakkan perpaduan antara kaum di peringkat akar umbi.
“Jadi perlu diperlihatkan bukan hanya cakap, tapi diterjemahkan bahawa kita sebagai pimpinan tanpa mengira perbezaan politik dan sebagainya sepatutnya dilihat boleh bersama,” katanya ketika mencelah penggulungan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang pada Mesyuarat Khas Penggal Kedua (Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata, cadangannya kerana mahu mengajak pentadbiran kerajaan sekarang yang dikatakan Kerajaan Madani melakukan reformasi.
“Kita letak tepi perbezaan ideologi, sekarang adalah masa melakukan anjakan paradigma yang terbaik kerana saya melihat Menteri Perpaduan Negara bersungguh-sungguh untuk menyemai perpaduan,” katanya.
Selain itu, cadangannya kerana melihat Rukun Tetangga merupakan antara program sukarela yang bertujuan mmbantu pembangunan masyarakat setempat.
“Konsep ini sama seperti `neighbourhood watch’ di United Kingdom. Jadi sekiranya tadi, Eksplorasi Rukun Tetangga sudah bagus kerana melibatkan semua pihak menjelajah seluruh negara, kalau boleh inilah masa kita letak ideologi politik pemimpin, termasuk ahli parlimen,” katanya – HARAKAHDAILY 19/9/2023.