Beruang ‘serbu’ van donat di Alaska

Dua ekor beruang menyerbu masuk ke dalam sebuah van penghantaran di Alaska. (FOTO: AP)
- Advertisement -

ALASKA: Dua ekor beruang yang kelaparan di kawasan pangkalan tentera di Alaska dilaporkan telah ‘menyerbu’ masuk ke dalam  sebuah van donat terkenal, Krispy Kreme yang sedang berhenti bagi proses penghantaran kepada sebuah kedai serbaneka.

Menurut saksi yang juga sebagai pengurus kedai serbaneka Joint Base Elmendorf-Richardson JMM Express, Shelly Deano, kebiasaannya pemandu van tersebut meninggalkan pintu vannya terbuka apabila sampai ke kedai serbaneka tersebut.

- Advertisement -

Walau bagaimanapun, kali ini fenomena pelik tercetus apabila seekor beruang bersama salah seekor anaknya yang sedang merayau di sekitar kawasanb itu tiba-tiba menyelongkar masuk dan kekal berada di dalam van tersebut kira-kira 20 minit pada pagi Selasa, lapor AP.

Menurut Deano, beruang tersebut dilihat mengunyah donat dengan rakus beserta pastri-pastri yang lain, sambil tidak menghiraukan usahanya mengetuk van dari tepi bagi menghalau mereka keluar.

“Saya mengetuk van tersebut, namun kedua-duanya tidak berganjak. Saya boleh dengar mereka membuka bungkusan dan lain-lain. Mereka seolah-olah tidak ambil kisah langsung dengan kehadiran saya,” katanya.

Tambah  Shelly, setelah gagal menghalau beruang dengan cara tersebut, dia segera memanggil pihak sekuriti pangkalan tentera terdekat dan mereka menggunakan bunyi siren bagi menghalau beruang tersebut

Sejurus siren dibunyikan, dua ekor beruang tersebut akhirnya berjaya dihalau keluar dan dilihat merayau-rayau di hadapan kedai serbaneka dan stesen minyak sebelum kembali ke hutan.

Deano menyatakan bahawa  situasi  beruang merayau di hadapan kedainya adalah perkara biasa, namun kejadian terbaharu ini adalah sangat janggal baginya, selain menurutnya, pemandu tersebut kini mengambil iktibar dan apabila membuat penghantaran dibuat, dia akan memastikan pintu van akan terus ditutup.

“Kami sentiasa berhati-hati apabila datang (ke tempat kerja) dan ketika pulang. Jika kami ingin membuang sampah, kami akan keluar berdua terutama ketika suasana gelap.”

“Kami menggesa orang awam agar sentiasa berwaspada bagi memastikan hidupan liar dan manusia dapat dilindungi. 

“Haiwan liar ini mungkin sudah menjadi ‘jiran’ kita, tetapi mereka tidak sepatutnya tertarik atau bertindak di luar jangkaan seperti merampas sumber makanan manusia” katanya.

Sementara itu, jurucakap kepada pangkalan tentera terdekat, kapten Lexi Smith berkata pihak tertinggi pangkalan telahpun sedar dengan situasi tersebut dan binatang liar yang lain di kawasan itu sejak beberapa bulan kebelakangan ini.