Zahid Hamidi lambang perjuangan PH

DALAM Sidang Parlimen hari ini, Ahli Parlimen PN tanya berkenaan kes Dato’ Seri Zahid Hamidi yang telah dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) dengan budi bicara Peguam Negara. 

Seperti dijangka, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang Dan Reformasi Institusi), Dato’ Sri Azalina Othman Said telah menggunakan hujah Artikel 145(3) Perlembagaan Persekutuan dan menafikan penglibatan kerajaan terhadap keputusan yang dibuat oleh AG.

Sedangkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebelum ini telah membuat pendedahan yang menyatakan bahawa beliau tahu dan ada berbincang dengan AG sebelum keputusan untuk melepaskan Presiden Umno itu dibuat.

Kerana itu rakyat muak. Berulang kali PH menegaskan bahawa Kerajaan Madani komited melaksanakan reformasi pemisahan kuasa antara AG dan pendakwa raya. 

Namun apa yang berlaku adalah badan kehakiman dan perundangan negara banyak disalahgunakan oleh Kerajaan PH-BN untuk menekan pembangkang. Kemudian 47 kes mahkamah Presiden Umno yang ditolak akar umbi pula digugurkan.

Ia juga menjadi satu tamparan buat penyokong perjuangan reformasi PH.

Justeru, kes Zahid ini tidak wajar dinoktahkan begitu sahaja. Ia adalah bukti reformasi PH yang sebenar. Lagi pula Zahid adalah Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Kerajaan tidak ada pilihan selain mendakwa semula Zahid bagi membuktikan perjuangan reformasi yang dilaungkan. Jika Zahid tidak bersalah, buktikan di mahkamah. Dan tunaikan janji pemisahan kuasa. 

Rakyat mahukan keadilan. Besar harapan agar penjelasan yang akan dibuat oleh Perdana Menteri ke-10 (PMX) di Dewan Rakyat esok disertakan dengan tindakan yang selari dengan slogan tata kelola beliau dan bukan hanya pidato kosong.

Sekian. 

YB USTAZ MOHD TARMIZI YAHAYA
Ketua Penerangan
PAS Negeri Pahang
ADUN Panching – HARAKAHDAILY 18/9/2023

Advertisement