KUALA LUMPUR: Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) menyarankan kerajaan mewujudkan Akta Wakaf seperti enakmen wakaf di beberapa negeri.
Katanya, kewujudan Akta Wakaf membolehkan ia dijadikan sebagai rujukan untuk pembangunan wakaf yang lebih cekap pada masa depan.
“Saya dapati di peringkat Persekutuan, khususnya Wilayah Persekutuan tidak ada pun akta berkaitan wakaf secara khusus yang boleh dirujuk seperti di Terengganu, Melaka dan Johor yang mempunyai enakmen wakaf masing-masing.
Beliau berkata demikian ketika mencelah penggulungan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar ketika Mesyuarat Khas Penggal Kedua (Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12) di Dewan Rakyat, hari ini.
Mohd Na’im berkata, memang ada perbincangan dilakukan untuk mewujudkan Akta Wakaf.
“Seperti Yang Berhormat Jerlun sebut…usaha tersebut (mewujudkan Akta Wakaf) memerlukan kajian menyeluruh untuk mempastikan kebolehterimaan akta itu,” katanya.
Sementara itu, Datuk Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) membangkitkan kewujudan Yayasan Wakaf Madani.
“Saya baru dengar (Yayasan Wakaf Madani). Soalan saya.. Yang Amat Berhormat Perdana Menteri umum dulu, kemudian Yang Berhormat kena buat atau benda tu (Yayasan Wakaf Madani) sudah sedia dah? Adakah ‘dia’ masuk di bawah wewenang Yang Berhormat sebagai Menteri Agama?” katanya.
Mohd Na’im menjawab, kewujudan Yayasan Wakaf Madani akan diteliti terlebih dahulu.
“Perbincangan lanjut akan kita adakan antara Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) dan juga Kementerian Ekonomi untuk kita teliti lebih lanjut berkaitan kewujudan Yayasan Wakaf Madani,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/9/2023