KUALA LUMPUR: Tindakan MUDA menarik balik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan, tidak menyalahi mana-mana peruntukan perundangan di negara ini.
Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, tindakan itu dibuat secara en-bloc, selari dengan peruntukan mengikut Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.
Sehubungan itu, katanya tiada keperluan bagi mana-mana wakil rakyat MUDA mengosongkan kerusi dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) atau Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Ia (menarik balik sokongan) keputusan berlandaskan undang-undang, Perlembagaan Persekutuan dan Akta Lompat Parti yang diketengahkan bersama (di Dewan Rakyat), sebelum ini.
“Malah, kita (MUDA) tidak dimasukkan dalam Pakatan Harapan (PH), selain MUDA sebagai parti membuat keputusan bersama dalam hal ini (menarik balik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan).
“Kerjasama antara MUDA dan PH sebelum PRU15 dibuat berdasarkan ‘electoral pack’ (pakatan pilihan raya). Justeru, kita berada dan (keputusan dibuat) berlandaskan Perlembagaan,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.
Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Muar melabelkan Kerajaan Perpaduan sebagai Kerajaan NATO (No Action Talk Only) atau `cakap tidak serupa bikin’ kerana banyak janji reformasi yang tidak dilaksanakan.
“Tak perlu membicarakan soal reformasi baharu, iaitu dalam parlimen kata nak bezakan (memisahkan kuasa) Peguam Negara dan Pendakwa Raya,” katanya.
Mac lalu, katanya Perdana Menteri sendiri menjanjikan bahawa setiap parlimen tidak kira kerajaan atau pembangkang akan mendapat peruntukan yang adil.
Selepas siri demi siri rundingan, katanya Ahli Parlimen kerajaan mendapat peruntukan antara RM3.8 juta hingga RM4.5 juta, tetapi Ahli Parlimen pembangkang langsung tidak mendapat sebarang peruntukan. – HARAKAHDAILY 18/9/2023