
KUALA LUMPUR: Terengganu mempunyai produk pelancongan yang hebat, unik, bertaraf antarabangsa serta tawaran lokaliti berasaskan pelancongan dan industri berkaitan yang berpotensi untuk dipromosi bagi melonjak dan menjadikannya negeri industri pelancongan Islam global.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri Terengganu, Razali Idris berkata, ia adalah susulan negeri Darul Iman itu mempunyai pelbagai sumber alam semulajadi.
“Segala-galanya ada di Terengganu – alam semulajadi, gunung-ganang dan sungai-sungainya, keindahan tasik, panorama yang memukau di pulau-pulau serta persisiran pantai yang menakjubkan.
“Lebih-lebih lagi, aktiviti teras, hiliran dan sokongan berkaitan industri pelancongan dalam kepelbagaian terutama pelancongan Islam.
“Negeri Terengganu dapat menawarkan permintaan dan penawaran yang lebih meluas,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas menghadiri makan malam World Islamic Tourism Awards (WITA) 2023 bersama persidangan Asia Islamic Tourism Expo – Exhibition and Conference Haji, Umrah dan Pelancongan Islam (AITEX) di Sunway Pyramid, Bandar Sunway, Petaling Jaya, Selangor pada Jumaat (15 Sept) lalu.
Menurut beliau, WITA dan AITEX berupaya mengangkat pelancongan Islam dan menyemarakkan ekonomi dan pemasaran industri pelancongan Islam tepat pada landasannya, selepas mendepani cabaran hebat sewaktu Covid-19 lalu.

“Umpamanya persidangan dihadiri pakar-pakar professional, peneraju dan usahawan hebat dari seluruh dunia berkongsi pandangan dan pendapat berkaitan pelancongan Islam.
“Penyediaan pameran dengan keluasan 7,157 meter persegi, TokLi difahamkan dipenuhi dengan pempamer dari negara Timur Tengah dan Asia.
“Sudah tentu pakej seperti umrah dan pelancongan Islamik menjadi tarikan utama, di samping ruang khas untuk perbincangan mahupun MoU disediakan bagi menjalankan jaringan perniagaan masing-masing,” ujarnya.

Razali turut memuji penganjur yang menawarkan 55 anugerah mengikut kategori sekaligus memberi pengiktirafan, penghargaan dan motivasi kepada mereka yang terpilih.
Beliau juga berpeluang menyampaikan anugerah kepada beberapa pemenang bersama-sama tokoh tersohor dan negarawan negara, Tun Dr Mahathir Mohamad yang turut hadir bersama.
“Suasana santai begitu dirasai apatah lagi diselang-seli nyanyian dan irama Islamik, persembahan kombo, serta pertunjukan fesyen Muslimah dan pakaian batik Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/9/2023