Silver TikTokers rekrut Tiktokers PAS Perak

IPOH: Sektor Komunikasi Korporat Dewan Pemuda PAS Negeri Perak dengan kerjasama Penerangan PAS Negeri Perak telah mengambil inisiatif bagi melahirkan TikTokers.

Sehubungan itu, bengkel Silver Tiktokers telah dianjurkan di Wisma Purnama di sini, semalam menyaksikan penglibatan penyertaan di luar jangkaan daripada  pengguna aplikasi TikTok daripada PAS kawasan, Dewan Pemuda dan Muslimat kawasan di seluruh negeri Perak.

Advertisement

Pengarah Program, Muhammad Amin Roslan berkata, kejayaan merekrut sejumlah Tiktokers yang ramai dalam bengkel ini merupakan satu sejarah kepada PAS Perak.

“Buat julung-julung kalinya PAS Perak berjaya menghimpun dan melahirkan Tiktokers yang bernaung di bawah satu bumbung bernama Silver Tiktokers.Sebelum ini, ahli teras Silver Tiktokers hanya mempunyai seramai tujuh orang ahli.

“Namun, setelah bengkel ini dilaksanakan, mereka berjaya menambah seramai 81 orang ahli Tiktokers dalam kalangan ahli PAS Perak,” jelas beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu.

Menurutnya, Silver TikTokers bertujuan menyatukan langkah TikTokers bagi mencapai matlamat mendekati anak-anak muda.

“TikTokers PAS Perak perlu menyelaraskan gerak kerja melalui wadah Silver Tiktokers untuk mendekati anak-anak muda bermatlamat untuk menyampaikan prinsip perjuangan PAS yang merangkumi dakwah, kebajikan dan politik,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Komandan Silver TokTokers, Nurhafizul Badrul Hisham meluahkan perasaan gembira dengan kejayaan menambah ahli baharu Tiktokers PAS Perak.

“Silver TikTokers bersedia untuk membimbing ahli baharu ini dalam menyampaikan prinsip perjuangan PAS.

“Kita yakin dengan penambahan tenaga baharu tiktokers ini akan memberikan kesan yang lebih besar kepada gerak kerja penerangan PAS Perak selepas ini,” katanya.

Lebih menarik lagi, ahli-ahli Silver Tiktokers ini bergerak secara sukarela tanpa dibayar dan ikhlas bagi menyebarkan prinsip PAS kepada seluruh rakyat Malaysia.

Menerusi bengkel tersebut, peserta turut didedahkan kaedah menghasilkan video TikTok yang menarik dan berkesan untuk mencapai ‘For Your Page’ (FYP) serta tindakan secara strategik bagi menghasilkan gelombang yang disampaikan oleh Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Khairul Nadzir Helmi.