KUALA LUMPUR: Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) membangkitkan isu kenaikan harga beras dan barangan lain yang menghimpit rakyat ketika ini.
Menurutnya, tinjauan di Tampoi dan Masai, Johor menunjukkan kenaikan antara 30 sehingga 40 peratus dan ini memberikan kesan yang hebat kepada negara.
“Beras tempatan tidak ada di Johor. Saya sudah pergi merata tempat dan negeri lain. Di Kedah saya sempat suruh kawan beli sekampit (beras). Harganya tiga minggu lalu ialah RM23, tetapi sekarang RM35 (dan) ini adalah beras tempatan.
“Gula berkurangan dan pelbagai lagi. Masalah ini akan menimbulkan keluh-kesah rakyat,” katanya sebelum bermula sesi penggulungan menteri pada Mesyuarat Khas Penggal Ke-2 (Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 di Dewan Rakyat, hari ini.
Ini menyebabkan Shahidan menggesa kerajaan menghentikan segala peruntukan dan pembangunan, sebaliknya memberi perhatian utama kepada kenaikan harga beras tempatan, cili kering, bawang merah dan bawang putih.
Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Md Nor, kemudian mengambil maklum usul itu dan turut membacakan surat jawapan daripada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Ramli berkata, Johari sudah meneliti usul yangdibawa Shahidan dan menolaknya.
“Saya sudah meneliti usul Yang Berhormat (YB) dan mendapati usul YB tidak terjumlah di bawah urusan majlis khas yang ditetapkan. Oleh yang demikian, mengikut Peraturan Mesyuarat 11 (3), saya tidak dapat membenarkan usul YB dibawa ke Majlis Mesyuarat.
“Justeru, selaras dengan Peraturan Mesyuarat 18 (7) (c), saya menolak usul YB dalam kamar,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/9/2023