KUALA LUMPUR: Sekolah berasrama Orang Asli perlu dimajukan kerana memberikan impak yang sangat baik kepada kemajuan pendidikan anak masyarakat itu.
Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) berkata, ini berikutan kehadiran anak Orang Asli ke sekolah terlalu rendah apabila sekolah dekat dengan tempat tinggal Orang Asli.
“Dalam perbahasan, saya menyentuh Sekolah Berasrama Orang Asli di Kuala Langat. Ketika saya berjumpa dengan bekas seorang pelajar Orang Asli, mereka menyatakan bahawa sekolah berasrama sangat bermanfaat kepada masyarakat Orang Asli.
“Saya tak nafikan soal pendidikan Sekolah Model Khas Komprehensif Sembilan Tahun (K9) dan Sekolah Model Khas Komprehensif Sebelas Tahun (k11), tetapi realitinya pada hari ini, kehadiran masyarakat Orang Asli terlalu rendah apabila sekolah berada di kawasan mereka.
“Ini menyebabkan kehadiran harian sangat rendah, manakala pencapaian pendidikan mereka tidak membanggakan seperti yang diharapkan.
“Oleh itu, adakah kerajaan akan melihat semula soal sekolah berasrama bagi menempatkan anak Orang Asli untuk dibangunkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mencelah penggulungan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika Mesyuarat Khas Penggal Kedua (Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12) di Dewan Rakyat, hari ini.
Sementara itu, Ahmad Zahid menyatakan mengambil maklum perkara yang dibangkitkan Pesuruhjaya PAS Selangor dan akan melakukan langkah proaktif bagi menangani isu itu demi kebaikan masyarakat Orang Asli.
“Saya ambil maklum permasalahan di sekolah asrama berkenaan yang bukan hanya berlaku di tempat Yang Berhormat Kuala Langat, tetapi di tempat yang lain. – HARAKAHDAILY 18/9/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!