KUALA LUMPUR: Sambutan kelahiran Nabi Muhammad SAW ibarat tiada apa-apa erti sekiranya tidak melaksanakan lebih daripada itu, kata Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
“Sekiranya kita sekadar menyambut hari kelahiran Nabi Muhammad SAW dan tidak melaksanakan lebih daripada itu yakni tidak mengkaji ajarannya, tidak mengikuti jejak langkahnya, serta tidak menyambung perjuangannya, maka sambutan itu ibarat tiada apa-apa erti,” ujarnya.
Beliau menyatakan demikian menerusi laman Facebooknya, malam ini.
“Kita berada dalam bulan Rabi‘ul Awwal yang menjadi kelaziman umat Islam menyambut peristiwa kelahiran Nabi Muhammad SAW, walaupun Nabi SAW tidak pernah berpesan supaya umatnya menyambut hari kelahirannya,” katanya lagi.
Menurutnya, para sahabat RA dan kalangan ulama salaf generasi awal umat Islam turut tidak menyambut hari kelahiran Baginda SAW.
Bahkan, jelas beliau tahun bermulanya takwim bagi umat Islam yang dianggap bersejarah bukan diambil daripada tarikh kelahiran Nabi Muhammad SAW.
Beliau menambah, akan tetapi bermulanya tahun bagi umat Islam yang dipilih ialah hijrah Rasulullah SAW yang telah berjaya mendaulatkan kerajaan yang mendukung syariat Allah SWT.
“Kita diperintahkan supaya menyatakan kecintaan dan kasih kita kepada Rasulullah SAW kerana jasa Baginda SAW menyelamatkan manusia daripada kesesatan kepada petunjuk, daripada kejahatan kepada kebaikan, dan daripada kezaliman kepada keadilan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.
Ini, ujar beliau sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak beriman seseorang kalian (dengan iman yang sempurna) sehingga aku ini (diri Rasulullah SAW) lebih kasih daripada ayahnya, anaknya, dan manusia seluruhnya.” [Riwayat al-Bukhari (15) dan Muslim (92)] – HARAKAHDAILY 18/9/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!