MADRID: Gergasi Sepanyol, Real Madrid mempamerkan aksi tidak menyerah kalah di laman sendiri apabila bangkit menewaskan Real Sociedad 2-1 pada Ahad (17 Sept), waktu tempatan setelah ketinggalan dan kembali merampas takhta La Liga, sekaligus meneruskan rentak kemenangan dalam lima perlawanan berturut-turut.
Pasukan di bawah bimbingan Carlo ancelotti berjaya merekodkan kemenangan sempurna dalam aksi perlawanan liga setakat ini dengan 15 mata penuh, dua mata di hadapan musuh seteru mereka, Barcelona yang turut membelasah Real Betis 5-0 sabtu lalu, lapor Reuters.
Dalam perlawanan tersebut, penyokong tuan rumah terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan awal Real Sociedad pada minit ke lima apabila bekas pemain Real Madrid, Takefusa Kubo melakukan hantaran cantik kepada Ander Barrenetxea di dalam kotak penalti berjaya diterjemahkan kepada gol menerusi cubaan kedua, setelah cubaan pertama berjaya ditampan penjaga gol baharu Real Madrid, Kepa Arrizabalaga.
Walau bagaimanapun, pada awal babak kedua bersambung, Real Madrid bangkit menyamakan kedudukan hasil rembatan padu Fede Valverde dari luar kotak penalti yang terkena tiang sebelum menembusi gawang gol, sekaligus membuka akaun jaringan pertamanya bagi musim ini.
“Perkara terbaik yang kami lakukan adalah dengan terus mencuba dan tidak berputus asa. Mereka mempunyai banyak peluang (untuk menjaringkan gol) dan mereka berjaya menjaringkan gol pada cubaan pertama,” katanya.
“Namun kami tidak pernah menyerah, gol yang dijaringkan pada awal separuh masa kedua sedikit sebanyak membantu kami untuk terus berusaha mencari jaringan, saya gembira selagi mana saya dapat menyumbang sesuatu kepada pasukan”
Kedudukan seri walau bagaimanapun tidak kekal apabila jaringan gol kemenangan penyerang baharu mereka, Joselu menerusi tandukan pada minit ke 60 hasil hantaran Fran Garcia melengkapkan aksi kebangkitan Real Madrid dan membawa pulang tiga mata dari perlawanan tersebut.
“Mana-mana pasukan dari liga ini boleh membuat kejutan, kami mesti perbaiki kelemahan kerana kami bolos terlalu awal dalam perlawanan ini.”
“Walau apa pun, ini adalah Barnabeu (stadium keramat kami) dan dengan sokokongan para penyokong di sinilah kami mampu bangkit daripada kekalahan.”
“Saya berjaya menjaringkan gol dan ianya membantu pasukan mendapatkan mata, itu adalah perkara yang paling membuatkan saya gembira,” katanya.
Real Madrid akan memulakan kempen Liga Juara-Juara Eropah Rabu ini apabila bakal dikunjungi Union Berlin di Bernabeu, sebelum dijadualkan bertandang ke gelanggang lawan bertemu Atletico Madrid bagi derbi liga Sepanyol. . – HARAKAHDAILY 18/9/2023