Perkukuh hubungan antara Malaysia dan Indonesia

Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi

MARANG: PAS menyarankan agar hubungan antara Malaysia dan Indonesia diperkukuhkan dalam mendepani pertembungan kuasa antara China dan Amerika Syarikat (AS) di rantau ini.

Advertisement

Pengerusi Lajnah Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata Malaysia perlu mengadakan hubungan lebih akrab dengan negara-negara jiran  khususnya negara-negara Islam bagi mengimbangi pengaruh kuasa-kuasa besar yang sangat mengimpikan penguasaan di rantau ini khususnya Selat Melaka yang menjadi laluan perkapalan antara yang paling sibuk di dunia di samping hasil buminya yang kaya.

“Tidak ada campurtangan asing dalam politik negara adalah prinsip tetap yang mesti dipertahankan,“ tegasnya.

Justeru katanya, titik persamaan yang paling ketara antara Malaysia dan Indonesia ialah agama, bangsa dan budaya.

“Negara Islam terbesar di ASEAN ialah Malaysia dan Indonesia, hubungan kedua-duanya perlu diperkukuhkan tanpa perlu menjemput kuasa luar menangani masalah serantau,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika membentang kertas kerja bertajuk Hubungan Antara Malaysia dan Indonesia Dalam Konteks Pertembungan Antara AS dengan China di Majlis Daurah Kitab di Masjid Rusila di sini hari ini.

Oleh kerana itulah, ujarnya hubungan yang sedia ada antara kedua-dua negara itu perlu diperkukuhkan lagi dalam semua aspek seperti aktiviti agama, budaya dan ilmu pengetahuan melalui NGO, pusat-pusat pengajian dan lain-lain lagi.

“Kita (Malaysia dan Indonesia) adalah serumpun dari segi agama, bahasa, kaum, adat resam dan budaya lebih kurang sama antara satu sama lain,” jelasnya yang juga Exco Kerajaan Terengganu.

Justeru katanya, Malaysia dan Indonesia hendaklah meletakkan keutamaan bergantung dengan kekuatan sendiri dalam semua aspek tanpa bergantung kepada kuasa asing.

Dalam masa yang sama, tambahnya Malaysia juga perlu mengambil pendekatan meramaikan kawan bukannya lawan dengan terus menjaga keharmonian dengan negara-negara jiran yang bukan Islam.

“Negara bukan Islam itu termasuk Kemboja, Thailand dan Laos,” tambahnya lagi.

Program daurah yang diadakan itu bertujuan untuk membudayakan majlis ilmu bagi menambah tsaqafah dan kefahaman masyarakat khususnya anak muda terhadap agama Islam dengan mengaitkannya dengan isu-isu semasa umat Islam. – HARAKAHDAILY 18/9/2023