Pembangkang jadi mangsa pendakwaan politik

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang memberitahu parlimen, tuduhan yang dilemparkan terhadap Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pendakwaan politik.

Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pembangkang sudah tahu daripada awal lagi bahawa tuduhan terhadap Pagoh tiada fakta.

Advertisement

“Saya bagi contoh kes yang dihadapi Pagoh, dari awal lagi kita sudah tahu dia tiada kes. Kita nampak ia sebagai pendakwaan politik.

“Kemudian mahkamah bersetuju dengan pendapat kita bahawa ia pendakwaan politik. Ini penganiayaan. Kerajaan sekarang buat secara semberono sahaja.

“Pegawai kerajaan ada yang bercerita tidak senang hati dengan apa yang berlaku sekarang.

“Kerajaan jangan ingat pegawai boleh dengar arahan sahaja, sedangkan ada juga yang tidak bersetuju,” katanya ketika mencelah penggulungan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said ketika Mesyuarat Khas Penggal Ke-2 (Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12) di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada 15 Ogos lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Muhyiddin daripada pertuduhan berkaitan penyalahgunaan kuasa melibatkan program bantuan Covid-19.

Muhyiddin sebelum itu didakwa empat pertuduhan salah guna kuasa melibatkan suapan bernilai RM232.5 juta.

Mahkamah memutuskan bahawa pertuduhan terhadap bekas perdana menteri itu adalah cacat, kabur serta tidak mencukupi bagi membolehkan bekas Perdana Menteri menyediakan pembelaan.

Oleh itu, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut meminta kerajaan berhati-hati dalam hendak menuduh terhadap sesiapa sahaja.

Sebelum itu, Datuk Seri Ronald Kiandee (PN-Beluran) turut menyifatkan apa yang berlaku sekarang sebagai pendakwaan terpilih yang hanya menyasarkan pemimpin pembangkang.

Katanya, Menteri besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor acap kali disiasat atas alasan 3R.

Sedangkan, katanya ada menteri dan pemimpin kerajaan Madani yang bercakap tentang 3R, namun belum kedengaran disiasat dan didakwa di mahkamah.

“Siasatan perlu dilakukan secara telus dan tidak menumpu kepada pembangkang sahaja,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/9/2023