MB Terengganu jawab tuduhan isu SG4

Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar

KUALA NERUS: Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menolak dakwaan pembentukan kerjasama ‘State-Government 4’ (SG4) tidak menghormati Persekutuan kerana memilih bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai penasihat.

Advertisement

“Apa yang tidak menghormati itu, saya tidak faham, kerana apa yang kita laksanakan kita mencari jalan sebanyak mungkin dengan pelbagai cara untuk meningkatkan tahap ekonomi, pelaburan, serta perkara-perkara yang berkaitan di negeri-negeri yang kita tadbir di empat negeri ini (Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis).

“Jadi apa jua usaha yang kita buat dari kecil sampai ke besar adakah itu dikira tidak menghormati kerajaan persekutuan,” ujar Menteri Besar Terengganu itu kepada media selepas Majlis Perasmian Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah Kuala Nerus, di sini hari ini.

Menurutnya, pertemuan pertama antara bekas Perdana Menteri itu dan kakitangan kerajaan negeri Terengganu baru-baru ini tiada satu pun menyentuh berkenaan politik.

“Saya boleh katakan dalam pertemuan pertama antara Tun M dengan kakitangan kerajaan negeri Terengganu sempena retreat exco baru-baru ini sepanjang 40 minit beliau berucap tidak ada satu pun menyentuh berkenaan politik.

“Hanya pentadbiran, bagaimana untuk meningkatkan kecekapan dan tidakkah kita ingat bahawa sepanjang tempoh pemerintahan yang diterajui oleh Tun sama ada 1.0 atau 2.0 telah menunjukkan pencapaian-pencapaian yang tertentu.

“Jadi adakah salah bagi kami kepada orang yang sudah mencapai kejayaan tertentu untuk kita ambil ilmu mereka,” soalnya.

Pada 2018, kata Ahmad Samsuri, Terengganu juga melantik Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang pernah menjadi Menteri Besar Selangor untuk membantu melonjakkan ekonomi dan pembangunan negeri.

“Jadi saya tidak faham, mungkin atas dengki atau iri hati pihak tertentu sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, kata beliau, kerjasama antara kerajaan negeri dan agensi di bawah kerajaan persekutuan sangat erat.

“(Saya) tidak faham sebab pada peringkat ini pun kita sedang bekerjasama erat dengan kerajaan persekutuan dari pelbagai agensi dan kementerian.

“Hatta, di peringkat peringkat Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), pun kerjasama antara kerajaan negeri dengan agensi di bawah kerajaan persekutuan ini sangat erat.

“Kami sentiasa bermesyuarat. Minggu lepas baru bermesyuarat ECRL jadi tidak timbul kenapa, di mana tidak menghormati itu,” katanya.

Beliau yang juga Adun Ru Rendang percaya untuk mencapai sesuatu harus menggunakan pelbagai kaedah.

“Saya percaya untuk mencapai sesuatu tempat maka kita harus mengguna pelbagai cara kiri, kanan, atas bawah asalkan kita capai objektif yang kita nak capai dalam waktu yang singkat,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/9/2023