Kedah negeri ketiga tertinggi sumbang pelaburan negara

Isyarat pelabur terus yakin kepimpinan Sanusi

- Advertisement -

KEDAH berjaya capai pelaburan dengan jumlah RM14.6 bilion daripada keseluruhan yang dicapai negara berjumlah RM132.6 bilion. Biarpun di sebalik kemelut Kedah dan Pusat namun ia tidak menjejaskan prestasi Kedah dalam pelaburan.

Sejak awal Disember Kerajaan PH-BN menerajui kerajaan di Putrajaya, hubungan antara Kerajaan Kedah-Pusat terus menjadi dingin. Malah ia menjadi lebih teruk menjelang PRN. Antara bahan utama kempen pihak PH-BN mengenai keburukan Kerajaan Kedah ialah negeri kedua termiskin di Malaysia malah turut mengancam rakyat yang terus bersama kekal dengan kepemimpinan Sanusi tidak akan merasakan manfaat peruntukan daripada Kerajaan Pusat.

Malah kejayaan pencapaian pelaburan Kedah dalam tiga tahun berturut-turut dikatakan hasil bantuan Kerajaan Pusat yang pada ketika itu diterajui PN-BN dan bukan disebabkan faktor Sanusi.

Namun di sebalik semua serangan politik jahat daripada PH-BN terhadap Sanusi sehinggakan tangan digari pada jam 3 pagi tidak sedikit pun melunturkan sokongan rakyat kepada beliau sebaliknya dalam PRN keputusan 33-3 membuktikan rakyat sangat yakin dan percaya kepemimpinan Sanusi akan membawa kemajuan kepada Kedah.

Malah kejayaan cemerlang Sanusi turut diakui pelabur-pelabur yang memberikan kepercayaan untuk melabur di Kedah negeri yang diyakini stabil, berintegriti, telus dan progresif untuk terus maju. 

Hasilnya Kedah mencatatkan negeri ketiga penyumbang tertinggi dengan nilai RM14.6 bilion di belakang Kuala Lumpur RM31.7 bilion dan Selangor RM29.7 bilion. Dua negeri selepas Kedah ialah Johor RM14.2 bilion dan Sabah RM9 bilion.

“Lima negeri telah merekodkan pelaburan diluluskan yang ketara iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM31.7 bilion), Selangor (RM29.7 bilion), Kedah (RM14.6 bilion), Johor (RM14.2 bilion) dan Sabah (RM9 bilion )”.

“Apabila digabungkan, kelima-lima negeri itu menyumbang 74.9 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan iaitu sebanyak RM132.6 bilion jumlah pelaburan keseluruhan”, kata Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan hari ini.

Jika dianalisa kelima-lima negeri yang disebutkan Kedah antara negeri yang termiskin dan tidak punya pelabuhan atau lapangan terbang Antarabangsa sebagaimana negeri yang lain. Namun pelabur terus yakin dan percaya Kedah adalah negeri paling berpotensi untuk maju di masa hadapan terutama di bawah kepemimpinan Sanusi yang komited dengan tanggungjawab terhadap rakyat dan membangunkan Kedah.

Biarpun dalam ucapan Perdana Menteri semasa pembentangan Separuh Penggal RMK12 kekal menganaktiri Kedah dengan tidak menyokong projek KXP sebaliknya peruntukan ditingkatkan lagi kepada negeri anak emas PH iaitu Pulau Pinang bagi projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan penambakan pulau buatan dengan tujuan kononnya Pulau Pinang negeri maju dan Kedah terus dikekalkan negeri mundur.

Namun begitu dengan perwatakan dan karismatik Sanusi sudah cukup berikan keyakinan kepada pelabur bahawa agenda The Greater Kedah akan terus dipacu bagi menjadikan Kedah sebagai antara kuasa utama ekonomi di zon Utara Malaysia.

Maka hasil separuh tahun 2023 bagi prestasi pelaburan Malaysia dengan pencapaian Kedah sebanyak RM14.6 bilion sudah cukup sebagai manifestasi kejayaan Kerajaan PN di Kedah.

Jika Sanusi sebagai Menteri Besar Kedah melahirkan wawasan The Greater Kedah maka tidak mustahil jika Malaysia diterajui Perdana Menteri daripada PN maka akan ada pula wawasan The Greater Malaysia suatu hari nanti dan tidak mustahil Malaysia akan catat pelaburan tertinggi di Asia dan signifikan sebagai Harimau Ekonomi Asia.

Apa pun tahniah kepada Kedah khususnya rakyat Kedah dengan pencapaian terbaru pelaburan ketiga tertinggi di Malaysia bagi separuh tahun 2023.

ABU FATEH – HARAKAHDAILY 18/9/2023

Sumber Asal: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid02wf3Yp6zue7tq6ZMBzcJHgyHa8PRGuEViMXDffZBDCoRpdXjkxVf7aeTzGccrKUCql&id=100064584887142&mibextid=Nif5oz 

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -