KUALA LUMPUR: Datuk Dr Radzi Jidin menggesa kerajaan menghalang Boustead Holdings (Boustead) menjual pegangan dalam Boustead Plantations kepada syarikat perladangan, Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK).
KLK baru-baru ini mengemukakan tawaran untuk memperoleh 33 peratus daripada pegangan Boustaed dalam Boustead Plantations.
Ahli Parlimen Putrajaya berkata, Boustead Plantations memiliki kawasan tanah yang luas di negara ini yang sepatutnya disimpan sebagai aset Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Jika hendak dijual, katanya sekurang-kurangnya syarikat itu boleh dijual kepada syarikat Bumiputera lain dan bukan entiti bukan Bumiputera seperti KLK.
“Adalah tidak adil untuk anggota tentera dan bekas anggota tentera untuk kita lepaskan aset ini kerana masalah pengurusan syarikat.
“Kita perlu sedarkan GLC (syarikat berkaitan kerajaan) dan syarikat milik kerajaan, tidak boleh dengan sewenang-wenang apabila ada masalah…jual, ada masalah…jual. Kalau tak, semua orang boleh menjadi CEO (Ketua Pegawai Eksekutif).
Beliau berkata demikian ketika mencelah penggulungan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan pada Mesyuarat Khas Penggal Kedua (Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12) di Dewan Rakyat, hari ini.
Turut membangkitkan isu yang sama ialah Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang)
Sementara itu Mohamad menyatakan mengambil maklum keprihatinan Ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL dan akan cuba mencari penyelesaian terbaik bagi isu itu.
“Kami akan memastikan LTAT tidak akan meletakkan semua telurnya (pelaburan) dalam satu bakul selepas ini, seperti melabur 56 peratus dalam satu industri tunggal, yang dalam kes ini adalah Boustead. Ini bahaya.
“Yakinlah, kami sedang berbincang dengan Kementerian Kewangan dan kami akan cuba mencari penyelesaian terbaik untuk menyelesaikan isu Boustead, dan pada masa sama memastikan plot tanah yang berada di bawah milikan LTAT tidak akan hilang,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/9/2023