KUALA LUMPUR: Walaupun digesa oleh Ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL (PN) supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), menjawab isu mengenai cabaran terhadap enakmen jenayah syariah di Dewan Rakyat, Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar memilih untuk hanya menjawab secara bertulis.
Ketua Whip PN, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan, menggesa perkara itu dijawab di Dewan Rakyat kerana turut dinantikan oleh seluruh rakyat negara ini.
“Seluruh rakyat Malaysia sedang menunggu jawapan dari menteri agama kerana ia merupakan ancaman kepada akidah umat Islam.
“Luar parlimen tidak boleh diambil kira, ini dalam parlimen, itu yang penting,” katanya ketika mencelah penggulungan Mohd Na’im pada Mesyuarat Khas Penggal Ke-2 (Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12) di Dewan Rakyat, hari ini.
Gesaan yang sama turut dibuat oleh Dato’ Ahmad Marzuk Shaari (PN- Pengkalan Chepa) supaya jawapan berhubung isu itu didiutamakan, berbanding perkara lain.
Bagaimanapun, Mohd Na’im berkata, jawapan berhubung perkara itu dijawab secara bertulis kerana faktor kekangan masa.
Terdahulu, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu meminta Mohd Na’im memberi pengesahan untuk memberikan jawapan berhubung isu itu.
“Boleh saya dapatkan kepastian sama ada Yang Berhormat akan menjawab mengenai perkara yang dibangkitkan oleh saya iaitu cabaran terhadap enakmen jenayah syariah di Mahkamah Persekutuan.
“Perkara ini juga telah diberi penekanan oleh Sultan Selangor selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam iaitu cabaran ini yang menjejaskan kedudukan enakmen jenayah syariah seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj juga memberi saranan agar diadakan penyelesaian melalui tindakan legislatif dengan membuat pindaan tertentu kepada peruntukan undang-undang bagi membolehkan kuasa Dewan Undangan Negeri mengubah peruntukan berkaitan kesalahan jenayah syariah bagi orang Islam. – HARAKAHDAILY 18/9/2023