Chelsea bergelut cari rentak kemenangan

Peluang keemasan Chelsea pada minit ke-30 perlawanan yang disia-siakan oleh penyerangnya, Conor Gallagher (depan) dalam aksi perlawanan menentang Bournemouth di Vitality Stadium, Bournemouth, England pada 17 Sept 2023. (FOTO: Getty's Images)

BOURNEMOUTH: Kemelut prestasi Chelsea dalam mencari rentak kemenangan semakin membarah apabila barisan penyerang prolifik mereka sekali lagi gagal beraksi dengan baik.

Pasukan itu sekadar mencatatkan keputusan seri 0-0  dalam aksi bertemu Bournemouth di Vitality Stadium pada Ahad (17 Sept), waktu tempatan, yang merupakan perlawanan kedua berturut-turut pasukan The Blues itu gagal menghasilkan sebarang jaringan.

Advertisement

Selepas aksi hambar kekalahan 1-0 kepada Nottingham Forest dalam perlawanan liga sebelum ini, dalam perlawanan ini pula Chelsea dilihat menguasai permainan pada separuh masa pertama dengan beberapa cubaan ke arah gawang lawan berjaya dihasilkan melalui rembatan Nickolas Jackson pada minit ke-14 yang terkena tiang, selain peluang keemasan Chelsea pada minit ke-30 perlawanan yang disia-siakan oleh Conor Gallagher, lapor Reuters.

Walau bagaimanapun, Bournemouth sesekali melakukan serangan mengejut ke atas Chelsea melalui Dango Outtara yang mendapat lorongan bola leret ke hadapan gawang sebelum penjaga gol Chelsea, Robert Sanchez menafikan percubaan jarak dekat tersebut dengan aksi merebahkan badannya.

Pada awal separuh masa kedua, pasukan pelawat hampir mendahului jaringan apabila sepakan percuma Raheem Sterling terkena tiang dan palang gol sebelum disambar Levi Colwill yang terus menggegar gawang lawan; namun,  gol tersebut dibatalkan oleh pengadil kerana berkedudukan ofsaid.

Pergantian Bournemouth yang memasukkan pemain baharu mereka, Justin Kluivert pada separuh masa kedua sedikit sebanyak membantu meningkatkan intensiti serangan apabila kekasaran terhadapnya minit ke-76 menghadiahkan sepakan percuma; namun  alang sekali, sepakan diambil oleh Philip Billing kemudiannya terkena benteng.

Walaupun perlawanan dikuasai Chelsea, penyerang Bournemouth, Dominic Solanke beberapa kali meriuhkan suasana penyokong tuan rumah apabila percubaannya hasil hantaran sudut tersasar manakala tandukannya tinggi melambung beberapa minit kemudian.

Chelsea yang sedang kemarau gol hampir memperoleh gol kemenangan ketika lima minit sebelum waktu sebenar tamat apabila hantaran sterling kepada pemain gantian, Cole Palmer yang menampan bola ke arah gol diselamatkan oleh penjaga gol Cherries, Neto dengan aksi reflek pantas menahan dengan hanya menggunakan sebelah tangan bagi menafikan percubaan itu.

Keputusan seri itu menyaksikan Bournemouth mendaki tangga ke-15 dengan tiga mata, dua mata dan satu anak tangga di belakang Chelsea yang mengecewakan jurulatih mereka sendiri, Mauricio Pochettino.

“Keputusan akhir perlawanan tidak cukup (untuk menggambarkan prestasi kami). Ia segalanya tentang cara kita bermain. Kita sepatutnya menang 1-0, 2-0 hari ini dengan mudah kerana kita mempunyai beberapa peluang pada 30 minit pertama” katanya dalam satu kenyataan.

“Kalau kita tidak menjaringkan gol dan gagal memenangi perlawanan, mungkin anda boleh katakan kepada orang lain, ia tidak cukup” tambahnya.

Sementara itu, pemain pertahanan Bournemouth, Max Aarons menganggap mereka tidak bernasib baik untuk memenangi perlawanan tersebut.

“Secara jujurnya, kami berasa kecewa tidak membawa pulang tiga mata penuh dalam perlawanan ini. Mereka mempunyai peluang tetapi saya rasa ini adalah aksi terbaik kami sepanjang musim setakat ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/9/2023