BEBERAPA hari ini saya berada di DUN Pelangai.
Mesyuarat Dewan Ulamak PAS Pahang.
Munajat Perdana.
Mesyuarat PRK DUN Pelangai.
Hadir ke Balai Polis Manchis.
Saya melihat BN-Umno-DAP amat gagah kerana khemah-khemahnya besar dan sedang berkubu di lokasi strategik. YAB MB dan Exco-Exco turun dengan hebat dan dahsyatnya mengadakan pelbagai aktiviti kerajaan negeri dan membuat pengumuman peruntukan berjuta-juta ringgit.
Aktiviti keagamaan pula rancak diadakan di sana sini dalam DUN Pelangai. Acara kebudayaan turut ada.
Kami pula berdepan dengan kesukaran mendapat tempat untuk disewa dan ada yang dibatalkan walau sudah dibayar deposit. Amat sukar mencari tempat awam untuk diadakan program PERIKATAN NASIONAL (PN) kerana ada ‘arahan atasan’.
Apa yang mengkagumkan saya pimpinan PERIKATAN NASIONAL terutamanya YB Ustaz Rosli Abdul Jabar tetap ceria dan melawak walau terpaksa merayau mencari tempat hingga masuk ke dalam ladang sawit. Selepas ini kena menebas dan menambun tanah pula kerana lokasi dipilih atas tanah persendirian yang masih semak.
Sahabat saya YB Ustaz Shahril Azam, ADUN Jengka pula terpaksa ke Balai Polis Manchis kerana dipanggil untuk diambil keterangan kerana ada report polis oleh PH-BN-Umno-DAP berkaitan isu 3R, akibat menjelaskan isu Malaysian Malaysia dan sekular.
Satu lagi berkaitan Wau PN. Katanya telah ada aduan kepada pihak keselamatan supaya ia diturunkan. Risau benar nampaknya!
Namun itu semua tidak mematahkan semangat kami. Pelbagai program dan aktiviti terus berjalan walau dengan serba keterbatasan bagi menawarkan perubahan untuk DUN Pelangai dan Negeri Pahang.
Alhamdulilah hati sentiasa terubat kerana semakin ramai yang hadir memberikan sokongan. Terima kasih kepada YB Baddrol Bakhtiar (ADUN Gurun, Kedah), YB Ustaz Hafez (ADUN Manjoi, Perak), Ustaz Hanafi Zulkapli (Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia) dan sahabat-sahabat luar Pahang yang turun awal menyantuni anak-anak muda di sini.
Terima kasih kepada warga DUN Pelangai yang mesra dan ramah. Insya-Allah kami akan terus berkampung di sini bagi melaksanakan jihad pilihan raya.
Ayuh sahabat semua kita menangkan kerusi ke-18 PN Pahang. – HARAKAHDAILY 18/9/2023
Penulis ialah Ketua Dewan Ulamak PAS Pahang yang juga ADN Damak.