KUALA LUMPUR: Bantuan terhadap mangsa bencana alam di Pasir Puteh yang belum diterima walaupun selepas setahun berlalu menyebabkan Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) meminta kerajaan memperjelaskan status bantuan berkenaan.
Katanya, kerajaan menjanjikan bantuan kewangan kepada penduduk yang menjadi mangsa bencana alam, tetapi sehingga kini mangsa belum menerima sebarang bantuan.
“Bencana banjir dan ribut berlaku hampir setahun lalu dan kerajaan menjanjikan bantuan kewangan RM1,000 bagi setiap Ketua Isi Rumah (KIR).
“Realitinya di Pasir Puteh, Kelantan, sebahagian besar bantuan belum diterima. Begitu juga bantuan untuk membaiki rumah.
“Jadi saya harap kerajaan dapat memberitahu aspek teknikal di peringkat jawatankuasa bencana daerah secara jelas. Saya minta tindakan yang lebih pantas dibuat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mencelah penggulungan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali ketika Mesyuarat Khas Penggal Kedua (Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12) di Dewan Rakyat, hari ini.
Sementara itu, Armizan meminta Ahli Parlimen Pasir Puteh dapat memberikan maklumat berhubung bantuan kewangan mangsa banjir secara terus kepadanya.
“Saya mohon selepas ini Pasir Puteh dapat berikan maklumat kepada saya secara langsung seperti usaha kita tangani isu berbangkit di Jelebu dan Kudat yang telah selesai,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/9/2023