KOTA BHARU: Kelantan bakal menjadi tuan rumah bagi persidangan kali pertama negeri Koridor Hijau yang membabitkan negeri diperintah PERIKATAN NASIONAL (PN) bersama Terengganu, Kedah dan Perlis.
Menteri Besar, Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, penganjuran tersebut telah mendapat persetujuan kepimpinan parti khususnya Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Beliau berkata, pengabaian konsep federlisma pasca Pilihan Raya Umum Ke 15 (PRU15) baru-baru ini oleh kerajaan memerlukan kerjasama strategik dalam gabungan Koridor Hijau.
“Satu gerak kerja yang tersusun ke arah mengaktifkan Koridor Hijau ini perlu dilakukan segera di saat negeri-negeri ini menerima tekanan yang sangat kuat oleh kerajaan pusat.
“Insya-Allah dengan persetujuan Presiden PAS, Kelantan bersedia memulakan langkah pertama ini dengan menjadi tuan rumah persidangan kali pertama negeri Koridor Hijau,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan pembentangan kertas kerja ‘Penerusan Dasar Membangun Bersama Islam – Visi dan Misi pada Liqa Fikri PAS Kelantan di sini semalam.
Pada majlis yang diadakan di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) itu, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang turut membentangkan kertas kerja ‘Istiqamah Mengekalkan Kemenangan’.
Hadir sama Pesuruhjaya PAS Kelantan, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob; Timbalan Pesuruhjaya, Dato’ Mohd Amar Abdullah, Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan dan Dato’ Dr Johari Mat.
Mohd Nassuruddin yang juga Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Kelantan berkata, selepas PRU15 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Koridor Hijau membentuk jajaran dalam peta Semenanjung.
Menurut beliau, negeri terbabit membentuk kerjasama dalam bentuk kepimpinan dan urus tadbir, ekonomi, pendidikan, agromakanan dan perkongsian tenaga pakar serta modal insan.
Sehubungan itu katanya lagi, dasar Membangun Bersama Islam yang menjadi teras pentadbiran Kelantan sejak lebih 30 tahun itu akan dipertahankan bukan sahaja di Kelantan.
“Maka dasar ini wajib dipertahankan untuk pastikan keletarian syariat islam bukan sahaja di Kelantan malah seluruh negara, serta menjaga kestabilan ummah dan syariat Islam.
“Ini supaya rakyat langsung melihat hasil dan merasai impaknya, harapan saya kita adalah satu mata rantai daripada mata rantai perjuangan Islam sejak awal hingga akhir,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/9/2023