Ribuan sertai Himpunan Aman Selamatkan Malaysia

KUALA LUMPUR: Himpunan Aman Selamatkan Malaysia diadakan di sekitar Sogo petang dengan kehadiran ribuan peserta biarpun pada peringkat awal berdepan amaran polis.

Advertisement

Perhimpunan tersebut sebagai protes terhadap pembebasan oleh Mahkamah Tinggi terhadap 47 kes rasuah yang melibatkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Peserta berkumpul di Masjid Kampung Baru bagi menunaikan solat Zohor berjemaah dan kemudian bergerak ke Ibu Pejabat Polis Dang Wangi.

Peserta yang hadir turut melaungkan ‘dakwa Zahid’ sambil berarak sebagai tanda protes terhadap keputusan pihak pendakwa menarik balik kes tersebut yang sudah di peringkat prima facie.

Yang turut hadir ialah Pengerusi UMMAH Mohd Zai Mustafa, pemimpin Bersatu Dr Afif Bahardin, Pemuda PAS, Armada Bersatu dan beberapa NGO yang menyertai perarakan tersebut.

Perhimpunan aman tersebut diadakan sempena Hari Malaysia yang bertujuan menggesa kerajaan untuk tidak melindungi mana-mana ahli politik yang terlibat dalam kes rasuah. – HARAKAHDAILY 16/9/2023