KUALA LUMPUR: Laporan polis dibuat bekas pemimpin Umno bagi mendesak kerajaan membuka siasatan semula terhadap Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkaitan 47 kes rasuah yang dibicara di mahkamah sebelum ini.
Mantan Timbalan Ketua Umno Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata terdapat kemungkinan berlaku manipulasi terhadap proses mahkamah tersebut yang mendorong beliau membuat laporan tersebut.
“Apabila melihat dalam kronologi kes tersebut yang mana pendakwa raya kanan dilucutkan dan pelantikan Peguam Negara yang baharu dan pegawai-pegawai lama yang cuti Ahmad Zahid dilepaskan tanpa dibebaskan sehingga menimbulkan banyak keraguan,” katanya.
Tambah beliau, tindakan tersebut menyebabkan rakyat membayangkan berlakunya manipulasi terhadap sistem perundangan di negara ini.
“Jadi laporan polis ini dibuat bertujuan bukan sahaja menyiasat semula Ahmad Zahid Hamidi tetapi juga terhadap Peguam-peguam Negara yang lama dan baharu serta pendakwa raya yang dilucutkan daripada mengendalikan kes tersebut,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Himpunan Aman Selamatkan Malaysia di sekitar Sogo hari ini.
Yang turut hadir ketika membuat laporan polis mengenai kes tersebut di IPD Dang Wangi ahli jawatankuasa Peguam Selangor Muhammad Rafique Rashid Ali.
Tambah beliau lagi, perhimpunan tersebut sebagai tanda kebangkitan rakyat yang inginkan kerajaan membetulkan tatakelola dan sistem keadilan di negara ini termasuk berkaitan kebajikan dan bantuan rakyat.
Menurutnya juga seorang lelaki dikenakan penjara selama 20 tahun hanya kerana mencuri RM22 akibat kesempitan kehidupan, manakala Timbalan Perdana Menteri mempunyai 47 kes rasuah yang merupakan kesalahan jenayah dibebaskan.

Sementara itu Rafique menyatakan siasatan mengenai kes rasuah Timbalan Perdana Menteri yang melibatkan dana Yayasan Akalbudi perlu disiasat semula secara keseluruhan.
“Ini kerana tindakan-tindakan yang dilakukan oleh mahkamah pada hari ini benar-benar menimbulkan banyak persoalan kepada rakyat,” katanya.
Menurutnya juga laporan polis tersebut dibuat supaya pihak berkuasa membuka semula siasatan mengenai kes tersebut dan membaiki semula sistem keadilan di negara ini.
Dalam pada itu, Himpunan Aman Selamatkan Malaysia berlangsung dalam suasana aman dan terkawal dari awal hingga berakhir petang ini.
Para peserta perhimpunan terlebih dahulu menunaikan solat Zohor di Masjid Jamek Kampung Baru sebelum berarak ke kompleks Sogo. – HARAKAHDAILY 16/9/2023