Pelbagai kaum hadiri sambutan Hari Malaysia PAS Bangi

Shafie (depan, empat dari kiri) di samping pelbagai kaum yang hadir dalam majlis Sambutan Hari Malaysia anjuran PAS Bangi di Tasik Chempaka, Bangi, Selangor pada hari ini, 16 Sept 2023. (FOTO: PAS Bangi Sg Ramal)

BANGI: Sambutan Hari Malaysia 2023 anjuran PAS Parlimen Bangi dimeriahkan dengan kehadiran pelbagai kaum, termasuk ada yang muncul dengan pakaian tradisional masing-masing.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Ramal, Tuan Mohd Shafie Ngah tidak melepaskan peluang turun padang menyemarakkan lagi sambutan Hari Malaysia yang berlangsung di Tasik Cempaka, di sini, hari ini

Advertisement

Beliau berkata, sambutan Hari Malaysia yang diraikan oleh seluruh rakyat Malaysia untuk memperingati pembentukan Persekutuan Malaysia antara Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak tangga 16 September 1963 itu sememangnya tidak mengira tempat atau keberadaan bagi memperingati hari bersejarah itu.

Sehubungan itu, Shafie sempat beramah mesra dengan pengunjung majlis tersebut di samping mengedarkan  risalah berkenaan Penubuhan Hari Malaysia serta memberikan bendera Malaysia kepada pengunjung yang hadir. 

Majlis itu turut diserikan lagi dengan pameran pakaian tradisional etnik di Malaysia yang dilaksanakan oleh Pemuda PAS Bangi, Ameerah PAS Bangi dan Dewan Himpunan Pendukung (DHPP) PAS Bangi.

Antaranya pakaian bangsa Melayu lelaki seperti baju Melayu yang lengkap bersampin dan bersongkok, pakaian bangsa Cina lelaki iaitu samfoo, pakaian bangsa India lelaki iaitu dhoti, pakaian bangsa India perempuan iaitu sari.

Turut dimeriahkan lagi pertunjukkan pakaian perempuan dari kaum Sikh iaitu salwar kameez. Tidak ketinggalan juga pameran pakaian lelaki dari suku kaum Kadazan Dusun iaitu gaung. Akhir sekali pakaian perempuan dari suku kaum Bajau Samah, Sabah iaitu baju sampit sinipah berserta skirt panjang corak sempangan.

Sehubungan itu, Shafie melahirkan sangat gembira dengan sambutan yang diberikan terhadap majlis itu termasuk kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain. 

“Program seperti ini akan diteruskan lagi pada masa hadapan untuk mengeratkan lagi silaturahim sesama rakyat berbilang bangsa di Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/9/2023