PAS kunjungi Kedutaan Libya zahir ucapan takziah

KUALA LUMPUR: Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi mengunjungi Kedutaan Libya bagi menzahirkan ucapan takziah di atas tragedi banjir besar yang melanda negara itu khususnya bandar Derna.

Advertisement

Katanya, tragedi banjir besar tersebut mengakibatkan lebih 5,000 penduduk terkorban dan ribuan lagi dilaporkan masih hilang.

“Saya mengadakan kunjungan ke Kedutaan Libya mewakili Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bagi menzahirkan rasa takziah di atas tragedi banjir besar yang melanda Libya khususnya bandar Derna,” katanya selepas kunjungan tersebut semalam.

Kunjungan Khalil yang juga anggota Exco Kerajaan Terengganu disambut Kaunselor Kedutaan Libya, Ibrahim Ahmad Ibrahim dan pegawai kedutaan.

Katanya juga Kedutaan Libya turut memaklumkan perkembangan terkini keadaan di negara tersebut termasuk usaha mencari dan menyelamat serta misi bantuan kemanusiaan dari pelbagai negara.

Dalam pada itu Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang turut menyampaikan sepucuk surat yang menzahirkan ucapan takziah kepada kerajaan Libya berikutan tragedi banjir besar tersebut.

“Didoakan agar Libya dan rakyatnya terus diberikan kekuatan dan kesabaran dalam mengharungi dugaan dan cabaran yang amat getir,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/9/2023