
KUALA LUMPUR: Tuntutan melampau pendengaran kes yang difailkan seorang peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid terhadap kerajaan negeri Kelantan adalah noktah penghujung sebelum ‘batu nisan’ diletakkan ke atas Mahkamah Syariah di negara ini.
Itu perumpamaan yang diungkap oleh peguam kanan, Yusfarizal Yusof terhadap isu Nik Elin yang telah mencabar kedudukan Mahkamah Syariah; yang menjelaskan bahawa kuasa Mahkamah Syariah boleh runtuh pada bila-bila masa disebabkan kes tersebut.
Ia berikutan beberapa cubaan mencabar keabsahan mahkamah syariah dalam hal berkaitan jenayah telah berlaku sebelum ini, termasuk kes Iki Putra Mubarak yang menjadi sandaran kepada kes Nik Elin ini.
Iki Putra didakwa di Mahkamah Syariah pada 21 Ogos 2019 atas kesalahan meliwat yang dilakukannya di Bangi, Selangor namun disebabkan tidak berpuas hati dengan pertuduhan itu, dia mencabar peruntukan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Selangor (EJSS) 1995 dengan mendakwa negeri atau Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk menggubal dan membicarakan kes jenayah liwat.
Kes Iki Putra yang perbicaraannya didengar di Mahkamah Persekutuan pada 17 Ogos lalu, telah mencabar keabsahan Enakmen Jenayah Syariah di setiap negeri; dan akhirnya Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa kes-kes liwat adalah diperuntukkan di bawah Seksyen 377A Kanun Keseksaan yang mana ia adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Sivil; dan justeru, Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan kes-kes di luar tabii seumpama itu.
Susulan kes Iki Putra, pada Mei 2022, Nik Elin pula memfailkan permohonan untuk membatalkan 21 kesalahan jenayah Syariah Negeri Kelantan, antaranya termasuk liwat, persetubuhan dengan mayat dan bukan manusia, musnahkan tempat ibadat, judi, arak dan banyak lagi.

“Kita perlu faham latar belakang beberapa kes yang ingin mencabar Mahkamah Syariah sebelum ini sudah berlaku. (Tetapi bagi saya), kes Nik Elin ini adalah penghujungnya, sebelum satu ‘batu nisan’ diletakkan (bagi menguburkan) Mahkamah Syariah di Malaysia,” tegas Yusfarizal.
Beliau berkata demikian selaku pembentang pada sidang Meja Bulat Memperkasakan Syariah di Institut Dakwah Islamiah PERKIM, Kuala Lumpur (IDIP-KL), di sini, hari ini.
Program anjuran bersama bersama beberapa persatuan badan bukan kerajaan (NGO) Gerakan Pembela Ummah Malaysia (UMMAH), Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (PEMBELA), Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Pertubuhan Kebajikan Islam (PERKIM) Wilayah Persekutuan, Persatuan Ulamak Wilayah Persekutuan dan Perkasa Malaysia itu menyaksikan kehadiran lebih 30 NGO lain.
Selain Yusfarizal, sidang meja bulat tersebut menampilkan beberapa panel lain terdiri daripada Dr Suariza Muhammad dari PERKIM Wilayah Persekutuan, Prof Kamaruzamam Yusof (UMMAH), Datuk Muhamad Abdullah (Persatuan Ulamak Wilayah Persekutuan) serta beberapa wakil NGO-NGO Islam yang lain.
Dalam pada itu, Yusfarizal turut mengumpamakan kes Iki Putra yang telah membatalkan keabsahan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 berhubung kesalahan seks luar tabii itu sebagai telah ‘memaku keranda’ undang-undang Syariah di negara sebelum ‘ditanam’.
Menurut beliau, perumpamaan tersebut bukan ingin melemahkan umat Islam, tetapi ingin memberi kesedaran bahawa kedudukan perundangan Islam sedang dalam bahaya dan boleh runtuh bila-bila masa.
Ini berikutan kes Nik Elin yang bersandarkan kes penghakiman Iki Putra menyatakan enakmen kesalahan Syariah Kelantan yang termasuk dalam senarai Persekutuan, secara automatik adalah terbatal.
“Kalau Mahkamah Persekutuan cerita tentang liwat sahaja, walaupun kita tidak bersetuju dengan perkara tersebut, ia melibatkan skop yang kecil sahaja.
“Namun Mahkamah Persekutuan tidak memfokuskan tentang liwat sahaja, kerana di dalam keputusan Mahkamah Persekutuan (terhadap kes Iki Putra), ia mengatakan bahawa apa-apa sahaja undang-undang yang membabitkan jenayah seperti judi, zina dan arak terhadap orang Islam sendiri tidak lagi boleh dibuat oleh negeri.”
“Yang negeri boleh masukkan di dalam enakmen hanyalah akidah, ibadah dan akhlak sahaja. Ini keputusan Mahkamah (Persekutuan) pada 2021,” katanya.
Menurut Yusfarizal lagi, jika kes Nik Elin ini pula berjaya, maka segala hukuman jenayah Syariah bakal dihapuskan dan tiada lagi undang-undang bagi orang islam yang melanggar syariat di negara ini.
“Secara kasarnya, selepas ni orang Islam bolehlah buat apa sahaja, nak minum arak sebagai contoh, pegawai agama tidak lagi boleh menghukum mereka,” ungkapnya.
Sementara itu, beliau turut mempersoalkan tindakan Nik Elin mencabar Mahkamah Syariah yang dianggapnya sebagai bersifat jahat kerana wanita itu tidak pernah dituduh mahkamah syariah seperti kes-kes sebelum ini.
“Jika dilihat, kes Iki Putra, Juzairi, Ayah Pin, mereka ini membuat kesalahan Syariah. Kemudian baru cabar (di mahkamah sivil), namun Nik Elin tidak pernah dituduh di mana-mana mahkamah Syariah, dan ia tidak ada kaitan,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa 20 November 2023 merupakan tarikh keramat kerana detik tersebut merupakan hari keputusan Mahkamah Persekutuan tentang perbicaraan kes Nik Elin berhubung kedudukan Mahkamah Syariah di negara ini.
Rentetan itu, Yusfarizal menggesa orang Islam agar menyedari bahawa ini adalah isu besar yang perlu difahami dan dipertahankan oleh mereka di negara ini.
“Kalau kita tengok kes Natrah sebelum ini, orang ramai sedar tentang isu mahkamah tersebut sehingga mereka berkumpul di hadapan mahkamah singapura, namun kita? Kita juga perlu bangkit”
“Orang Islam (di Malaysia) mesti memahami isu ini, jangan jadikan alasan ia susah difahami (atau terlalu teknikal) kerana ini akan memberi kesan kepada undang-undang Islam di negara ini untuk generasi di masa hadapan,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/9/2023