SULTAN Muhammad Al Fateh adalah pemimpin terbaik seperti yang dikhabarkan oleh Rasulullah S.A.W:
لَتُفتَحنَّ القُسطنطينيةُ ولنِعمَ الأميرُ أميرُها ولنعم الجيشُ ذلك الجيشُ
“Konstantinopel akan dibebaskan. Sebaik-baik ketua, ialah ketua yang mengetuai operasi itu. Sebaik-baik tentera ialah bala tentera itu.”
Walaupun berstatus pemimpin terbaik, namun dia bukan Nabi yang maksum. Al Fateh juga tidak terlepas dari melakukan kesilapan.
Suatu hari Sultan Muhammad Al Fateh ingin mendirikan sebuah masjid di Istanbul. Projek pembinaan itu diserahkan kepada seorang kontraktor mahir berbangsa Rom dikenali sebagai Ypsilanti.
Al Fateh menetapkan spesifikasi binaan berkenaan. Antaranya, tiang masjid itu hendaklah dibina tinggi supaya masjid itu kelihatan gah dari jauh. Al Fateh sendiri menetapkan berapa ketinggian yang diingininya. Ia juga hendaklah disalut dengan batu marmar.
Ketika pembinaan sedang berjalan, Ypsilanti berpandangan ketinggian tiang yang dikehendaki oleh Al Fateh itu tidak berapa sesuai. Lalu dia memotong tiang itu menjadi lebih pendek.
Apabila diketahui oleh Sultan Al Fateh, baginda sangat murka. Bagaimana Ypsilanti berani melanggar arahannya dan mengubah pelan asal tanpa dimaklumkan terlebih dahulu kepada baginda sultan.
Kemarahan yang meluap-luap itu menyebabkan baginda sultan memerintahkan supaya dipotong tangan Ypsilanti.
Setelah itu Al Fateh merasa menyesal di atas tindakannya yang terburu-buru. Namun dia tidak mampu lagi untuk mengembalikan tangan orang itu.
Ypsilanti yang dipotong tangan itu pula merasa dirinya dizalimi oleh khalifah, lalu mengadu kepada hakim yang terkenal. Hakim itu dikenali sebagai Qadhi Khidhir Jalabi.
Jika zaman Umar, Uthman dan Ali, hakim yang terkenal berani menjatuhkan hukum walaupun kepada pembesar negara dikenali sebagai Qadhi Syuraih. Maka di zaman Empayar Osmaniyyah, Qadhi Khidhir Jalabi dianggap jelmaan Qadhi Syuraih.
Hakim menerima aduan lelaki Rom berkenaan lalu memerintahkan sultan hadir ke mahkamah. Bayangkan, hakim yang dilantik oleh sultan, berani mengeluarkan arahan supaya sultan hadir ke mahkamah untuk proses pengadilan.
Boleh sahaja sultan mengambil tindakan menyingkirkan hakim berkenaan. Sultan juga berkuasa untuk mengarahkan hakim supaya melepas dan membebaskannya dari pertuduhan itu.
Namun dalam kes ini, sultan menurut perintah hakim. Baginya kebenaran dan keadilan mesti lebih tinggi daripada semua mereka yang berkuasa di atas muka bumi.
Apabila Sultan Al Fateh masuk ke mahkamah, baginda duduk di atas kerusi. Hakim lalu bersuara, “Tuan tidak dibenarkan duduk. Sebagai tertuduh, tuan hendaklah berdiri di samping orang yang menuntut.”
Al Fateh menurut perintah. Dia bangun dan berdiri di samping orang yang dipotong tangannya itu.
Setelah pertuduhan dibacakan, Al Fateh mengaku bersalah dan sedia dihukum. Selepas beberapa ketika hakimpun bersuara, “Seperti mana yang diperintahkan oleh hukum syarak, kamu wahai sultan hendaklah dipotong tangan sebagai qisas terhadap jenayah yang kamu lakukan!”
Sultan terkejut dengan hukuman itu. Tetapi plaintif Ypsilanti lebih terkejut lagi. Dia terkejut bagaimana hakim beragama Islam menghukum sultan orang Islam dengan hukuman sekeras itu hanya kerana tuntutan seorang Kristian. Sedangkan seluruh dunia Eropah ketika itu sangat takut kepada Sultan Muhammad Al Fateh.
Dia menyangka hakim hanya akan meminta sultan membayar ganti rugi sahaja. Rupa-rupanya dihukum qisas, potong tangan. Di sinilah dia menyedari betapa pelaksanaan Undang-undang Islam sangat adil kepada manusia.
Lantas dengan suara terketar-ketar dia memohon kepada hakim agar menggugurkan hukuman qisas dan diganti dengan bayaran diyat. Alasannya, jika dipotong tangan sultan, dia tidak dapat apa-apa.
Hakim lalu memutuskan, sultan hendaklah membayar 10 keping wang emas setiap hari sepanjang hidupnya sebagai ganti rugi mudharat yang terpaksa ditanggung sepanjang hayat.
Setelah mendengar keputusan mahkamah, Al Fateh menyatakan bahawa dia akan membayar 20 keping wang emas setiap hari, sekali ganda lebih dari yang ditetapkan oleh mahkamah. Ia sebagai tanda syukurnya terlepas dari hukuman potong tangan.
Kisah yang menarik ini turut diselit oleh Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam ucapannya di Parlimen.
YB USTAZ ROSLI ABDUL JABAR
Timbalan Pengerusi
PERIKATAN NASIONAL Negeri Pahang – HARAKAHDAILY 15/9/2023