
BANGKOK: Pemimpin parti progresif Move Forward Thailand, Pita Limjareonrat mengumumkan perletakan jawatan selaku ketua parti Move Forward (MFP) pada hari ini, Jumaat (15 Sept), beberapa bulan selepas memenangi pilihan raya yang mengejutkan dengan agenda reformasi yang dibawa untuk mengubah status quo politik.
Pada Pilihan Raya Mei lalu, MFP mengejutkan dunia politik Thailand apabila berjaya menewaskan parti-parti yang disokong oleh tentera dan institusi raja, menerusi kewujudan gelombang sokongan belia dan mereka yang tinggal di kawasan bandar sebelum proses pembentukan kerajaan dihalang oleh kumpulan konservatif di Dewan Rakyat, lapor Reuters.
Walau bagaimanapun, MFP yang kini memegang majoriti kerusi di parlimen mempunyai kelebihan dari segi suara politik kerana berjaya memenangi beberepa kerusi di sekitar bandar Bangkok terutama di kawasan bandar utama serta berjaya menawan beberapa kubu kuat konservatif.
Terdahulu,pemimpin muda berpendidikan Harvard berusia 43 tahun itu sebelum ini sudah dua kali gagal menjadi perdana menteri kerana komplot tentera yang melantik senator bagi menghalang perkara tersebut.
Ia berikutan ketegangan pendapat yang mana beberapa idea yang dibawa pita termasuk ingin menghapuskan undang-undang kebal monarki daripada dikritik tidak dipersetujui pihak tentera.
“Saya ingin memberi peluang ahli parlimen yang lain untuk mengambil tempat ini sebagai ketua pembangkang.
“Namun tidak kisah jawatan apa sekalipun, saya tetap akan bekerja untuk parti Move Foward ini dan untuk rakyat dengan sepenuh hati,” tulisnya dalam hantaran Facebook.
Terdahulu, tinjauan awal pendapat pilihanraya tempatan mendapati pita mendahului undian dengan jumlah undian yang tinggi berhubung pilihan Perdana Menteri oleh rakyat Thailand.
Bagaimanapun, perjuangan politik beliau telah menempuh jalan berliku apabila berdepan dengan tuduhan dan dakwaan mahkamah yang didakwa salah satu cubaan untuk mengekang Pita mengambil alih tampuk kuasa.
Pita kini digantung parlimen membabitkan isu mahkamah yang mendakwa beliau mempunyai pegangan saham syarikat media, yang mana ia tidak dibenarkan oleh udang-undang Thailand; namun beliau menafikan pemilikan sahamnya dalam syarikat media itu melanggar peraturan pilihan raya. – HARAKAHDAILY 15/9/2023