KUALA LUMPUR: Sekretariat Gerakan Selamatkan Malaysia telah mengecam sekeras-kerasnya penahanan aktivis iaitu saudara Chegu Bard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin ditahan di hadapan Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.
Bekas Timbalan Ketua Bahagian UMNO Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz yang telah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, Chegu Bard ditahan berikutan susulan keengganannya hadir untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan enam kes membabitkan dirinya.
“Sekretariat telah mengadakan satu pertemuan dengan semua badan-badan gabungan seperti badan bukan kerajaan (NGO), NGI dan parti-parti politik untuk membincangkan hala tuju Gerakan Selamatkan Malaysia yang akan bermula pada 16 September 2023 dan tuntutan-tuntutan yang dikemukakan kepada pihak kerajaan,” katanya dalam sidang media yang berlangsung di Hotel EDC, di sini, hari ini.
Beliau turut memberitahu bahawa Sekretariat Gerakan Selamatkan Malaysia dalam kenyataannya berkata, himpunan itu dibentuk dengan menggabungkan parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan.
“Ia dibentuk bagi mengembalikan semula integriti dan maruah negara yang tercalar akibat pengguguran kes rasuah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
“Seterusnya, himpunan tersebut adalah untuk membebaskan peguam negara dan SPRM dari kuasa eksekutif dan untuk mempertahankan undang-undang yang adil kepada semua rakyat,” katanya.
Justeru, Tun Faisal menyatakan bahawa Sekretariat Bersama menyeru seluruh rakyat yang cintakan integriti dan bersetuju dengan tiga tuntutan sekretariat bersama untuk hadir bersama-sama berhimpun bermula dengan solat zohor di Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Beliau juga memberi jaminan bahawa Himpunan Aman Selamatkan Malaysia yang akan berlangsung esok adalah secara aman dengan penuh semangat berpelembagaan.
“Kita tidak akan mengendahkan sebarang provokasi yang dilakukan dan meminta semua peserta menjaga disiplin dan ketertiban sepanjang perhimpunan itu berlangsung.
“Sekretariat Bersama telah menubuhkan satu pasukan guaman sekiranya mana-man pihak menghadapi tindakan dari pihak berkuasa berhubung perhimpunan ini,” katanya. . – HARAKAHDAILY 15/9/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!