GUA MUSANG: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bakal menerima kemasukan 10 pelajar Orang Asli sebagai bagi Sesi Akademik Oktober 2023/2024 untuk program Ijazah Sarjana Muda, pada tahun ini.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Nik Maheran Nik Muhammad berkata, pada sesi lepas seramai enam pelajar Orang Asli dari Pahang, Selangor, Kedah dan Perak berjaya melanjutkan pengajian di institusi itu.
“Pengambilan pelajar dari kalangan Orang Asli itu menerusi laluan khas kepada empat golongan khusus bagi kemasukan ke Universiti Awam (UA), yang terdiri daripada Orang Kurang Upaya (OKU), atlet, Orang Asli dan golongan berpendapatan rendah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perasmian Program Outreach Bersasar 2023, di Sekolah Menengah Kebangsaan Panggung Jaya, Gua Musang, Kelantan, semalam.
Turut hadir, Pemangku Pengarah BKPA, Ts. Mohd Adiel Azhar Harun, Wakil Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Pegawai Pendidikan Daerah Gua Musang dan Pengetua SMK Panggung Jaya.
Menurut Nik Maheran, UMK juga telah mengambil inisiatif dengan menjadikan SMK Panggung Jaya sebagai sekolah angkat UMK dengan hasrat membantu lebih ramai pelajar sekolah ini terutamanya pelajar kaum orang asli dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
“Selain itu, UMK juga akan membantu pihak sekolah untuk meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris para pelajar sebagai persediaan mereka melanjutkan pelajaran di menara gading.
Sementara itu, Ts. Mohd Adiel Azhar berkata, berdasarkan statistik permohonan yang diterima oleh UPUOnline, jumlah keseluruhan calon dari negeri Kelantan pada Sesi Akademik 2023/2024 adalah sebanyak 29,003 calon dan 1,010 daripadanya adalah dari kawasan Gua Musang.
“Dalam konteks laluan khas kemasukan ke IPTA dan ILKA yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kepada kumpulan orang asli, seramai 289 daripada 532 calon (54 peratus) orang asli lepasan SPM telah ditawarkan tempat.
“Sementara, tawaran perdana bagi calon orang asli lepasan STPM/setaraf adalah seramai 100 daripada 119 calon (95 peratus). Bilangan ini dijangka meningkat apabila tawaran rayuan dihebahkan pada minggu ketiga Oktober nanti,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, kisah kejayaan saudari Mazwin Faulin Mohd Azlin yang merupakan pelajar terbaik Orang Asli STPM 2022 yang telah ditawarkan ke program pengajian Sarjana Muda Sains Pengurusan Pelancongan di UiTM melalui UPUOnline pada 7 September 2023 yang lalu.
“Kejayaan adik Mazwin Faulin sewajarnya menjadi inspirasi kepada pelajar-pelajar orang asli lain untuk terus berusaha untuk melanjutkan pengajian di menara gading,” ujanya.
Tambah beliau, Program Outreach Bersasar menerima kehadiran seramai 800 pengunjung dengan penyertaan hampir 780 pelajar daripada 10 buah sekolah sekitar Gua Musang dan 60 Guru Pengiring dan Guru Kaunseling.
“Objektif utama program ini bertujuan menyebarluaskan maklumat terkini berkaitan peluang pendidikan tinggi dan latihan yang disediakan oleh Universiti Awam, Jabatan Pendidikan Politeknik, Kolej Komuniti dan Institutsi Latihan Kemahiran Awam (ILKA),” katanya. – HARAKAHDAILY 14/9/2023