KUALA LUMPUR: Dato’ Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) menganggap tindakannya meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR), parti komponen Pakatan Harapan (PH) pada 2020 sebagai langkah yang tepat.
Beliau berkata, hasrat kerajaan pentadbiran Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk menghapuskan rasuah dalam pentadbiran negara seolah-olah tidak serius berikutan keputusan melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurutnya, tindakan itu kerana mahukan kerajaan yang dibentuk hampir 10 bulan lalu terus kekal memerintah Putrajaya meskipun terpaksa menggadai prinsip perjuangan sejak 25 tahun lalu.
“Sangat tepat dan benar tindakan saya meninggalkan parti dan gabungan PH pada 2020, yang membelakangkan malah melelong prinsip keadilan dan reformasi demi merebut dan mengekalkan kuasa, ternyata tindakan saya tepat.
“Biarlah ketika itu dilabelkan sebagai pengkhianat, katak dan sebagainya, asalkan saya tidak dilihat oleh rakyat sebagai pengkhianat kepada agama, bangsa dan negara,” katanya ketika sesi perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini.
Bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah itu juga musykil dengan kemampuan kerajaan Madani untuk melaksanakan tema yang terkandung dalam KSP RMK12, iaitu Perundangan Berkaitan Rasuah.
Beliau berkata, keputusan DNAA Ahli Parlimen Bagan Datuk menyebabkan integriti institusi kehakiman semakin terhakis pada mata rakyat, malah imej negara di peringkat antarabangsa tercalar.
“Jika 47 kes pertuduhan berat seperti ini boleh mendapat DNAA, bagaimana rakyat biasa yang melakukan kesalahan mencuri petai, curi susu untuk beri anak minum, apa jaminan sistem kehakiman dan keadilan dapat dilaksanakan kepada semua rakyat tanpa mengira pangkat dan darjat. – HARAKAHDAILY 14/9/2023