KUALA LUMPUR: Perangai Barisan Nasional (BN) yang menafikan pemberian royalti minyak sebelum ini kini menjangkiti Pakatan Harapan (PH) yang turut berbuat demikian terhadap kerajaan Terengganu.
Dato’ Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) berkata, PH mengumumkan akan memberi Dana Khas Persekutuan selaras Akta Pembangunan Petroleum 1974, malah menjadikan isu tersebut sebagai sebahagian kandungan manifesto pilihan raya.
Namun, katanya kerajaan PH selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, berubah 100 peratus selepas menjalinkan pakatan bersama BN untuk membentuk kerajaan Pusat.
“Selepas naik kerajaan Madani di bawah Perdana Menteri dari Tambun, bayaran itu tidak lagi dibayar seperti yang sepatutnya, walaupun beberapa siri rundingan telah dibuat antara menteri besar dan Perdana Menteri sendiri.
“Janji nak bayar selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) juga tidak ditunaikan sehingga hari ini, apakah dengan penubuhan kerajaan hari ini atas sokongan BN, menyebabkan Perdana Menteri terpaksa akur dan berjangkit dengan perangai BN,” katanya.
Berucap pada sesi perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 di Dewan Rakyat, hari ini, Alias yang bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri berkata, Terengganu menerima bayaran penuh royalti minyak ketika pentadbiran Pagoh dan Bera.
Menurutnya, konsep federalisme benar-benar dihayati oleh kerajaan PERIKATAN NASIONAL (PN) sehingga tiada negeri dinafikan hak, termasuk negeri-negeri Pantai Timur yang sering tertinggal dari kerancakan arus pembangunan negara.
“Jika kerajaan Madani benar-benar berpegang kepada prinsip federalisme, isu negeri pembangkang dipinggir tidak akan timbul, tetapi hari ini kerajaan Pusat menyekat royalti atau dana khas pusat ke Terengganu.
“Maka sejauh manakah akauntabiliti kerajaan Madani untuk melaksanakan reformasi yang dicanangkan selama ini, sebagai contoh kerajaan Terenganu sebelum ini pernah menerima bayaran penuh royalti penuh semasa PN di bawah Pagoh dan Bera,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/9/2023