
LONDON: Polis Britain telah menahan tiga suspek berhubung kematian warga Britain-Pakistan, Sara Sharif Sara Sharif kerana disyaki membunuh kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun itu; beberapa saat selepas ketiga-tiga mereka kembali ke Britain selepas sebulan melarikan diri di Pakistan.
Mayat Sara ditemui di rumah keluarganya berhampiran Woking, tenggara England, pada 10 Ogos lalu; dan pemeriksaan bedah siasat mendedahkan mangsa telah mengalami ‘pelbagai kecederaan berbilang yang meluas’ dalam tempoh yang berterusan.
Polis UK berkata Urfan Sharif, 41, dan pasangannya, Beinash Batool, 29, dan abangnya, Faisal Malik, 28, yang sebelum ini melarikan diri ke Pakistan untuk berlindung dengan saudara-mara sebelum mayat Sara ditemui, mencetuskan pemburuan ketiga-tiga mereka di peringkat antarabangsa, lapor AFP.
“Petang ini, Rabu (13 Sept), waktu tempatan… tiga orang telah ditangkap berhubung siasatan ini di Lapangan Terbang Gatwick,” kata Superintendan Detektif di Surrey, Mark Chapman dalam satu kenyataan pada Rabu (13 Sept), waktu tempatan yang disiarkan di televisyen.
“Dua lelaki, masing-masing berumur 41 tahun dan 28 tahun, dan seorang wanita berumur 29 tahun ditahan kerana disyaki membunuh (Sara Sharif) selepas turun dalam penerbangan dari Dubai,” tambahnya, tanpa menamakan ketiga-tiga mereka selaras dengan amalan polis UK.
“Mereka kini dalam tahanan dan akan disoal siasat dalam masa terdekat,” tambahnya.
Jurucakap polis Pakistan sebelum ini berkata bahawa Sharif, Batool dan Malik secara sukarela kembali ke Britain dengan pengetahuan awal pihak berkuasa; yang disahkan oleh peguam keluarga Sharif, Raja Haq Nawaz.
Awal bulan ini, Urfan dan Beinash muncul dalam video yang diedarkan kepada media, yang mana Beinash berkata mereka ‘bersedia untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa UK dan melawan kes mereka di mahkamah’.
“Semua ahli keluarga kami telah bersembunyi kerana semua orang takut untuk keselamatan mereka,” katanya, mendakwa berlaku penyelewengan oleh polis Pakistan ketika memburu mereka.
Dalam video berkualiti rendah berdurasi dua setengah minit itu terdapat sedikit sebutan tentang kematian Sara, yang disebut Beinash sebagai ‘insiden tidak sengaja’.
Sementara polis Surrey berkata, ketiga-tiga pelarian itu dipercayai telah terbang ke Islamabad pada 9 Ogos, sehari sebelum Sara ditemui di rumah keluarga itu di kampung Horsell, di luar Woking.
“Panggilan kecemasan awal pagi itu memberitahu pegawai polis tentang kematian Sara dibuat dari Pakistan oleh seorang lelaki yang mengenalkan dirinya sebagai bapanya (Urfan Sharif),” kata pihak polis berkenaan.
Ketika polis menggeledah rumah di mana mayat Sara ditemui, ia sebaliknya didapati kosong, dan pemburuan ketiga-tiga suspek diteruskan dengan Interpol dan kementerian luar Britain menyelaraskan dengan pihak berkuasa di Pakistan.
Lima daripada adik-beradik Sara yang dikatakan berusia antara satu hingga 13 tahun telah dibawa ke Pakistan oleh ketiga-tiga suspek, ditemui di rumah Muhammad Sharif, bapa kepada Urfan pada Isnin (11 Sept) lalu.
Seorang majistret mahkamah Pakistan pada Selasa (12 Sept) memerintah agar kelima-lima kanak-kanak itu diletakkan ke dalam perkhidmatan perlindungan negeri.
Polis Surrey berkata, mereka sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan antarabangsa yang lain untuk memastikan kepulangan kesemua kanak-kanak itu dengan selamat.
Namun, tidak jelas ke mana mereka akhirnya akan dihantar atau berapa lama mereka boleh berada di bawah jagaan biro perlindungan kanak-kanak Pakistan.
“Ibu Sara dari Poland, Olga Sharif, telah dimaklumkan mengenai penahanan itu dan sedang diberi sokongan moral oleh pegawai pakar,” ujar kenyataan polis UK.
Olga, 36, dalam satu temu bual dengan media Poland berkata bahawa dia hampir tidak dapat mengenali mayat anak perempuannya itu ketika dipanggil untuk mengenal pastinya di rumah mayat pada bulan lepas.
Dia memberitahu televisyen Poland bahawa salah satu pipi Sara bengkak dan sebelah mukanya lebam.
Olga dan Urfan bercerai pada 2015, dan Sara serta abangnya yang berusia 13 tahun, hasil perkahwinan Olga dan Urfan tinggal bersama Olga sehingga mahkamah UK memutuskan pada 2019 bahawa kedua-duanya perlu menetap dengan Urfan, lapor media UK.
Sara telah diberhentikan dari sekolah rendah di Surrey pada April lalu untuk belajar di rumah oleh Beinash yang merupakan ibu tirinya di bawah pengetahuan jabatan perkhidmatan sosial majlis tempatan Surrey. – HARAKAHDAILY 14/9/2023